KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan yang berlangsung di ibu negara hari ini.
Pertemuan itu dimulakan dengan sesi santapan pagi sempena cuti umum Hari Wesak apabila Seri Paduka Baginda berkenan bersarapan bersama Perdana Menteri di Banglo 289, Jalan Raja Chulan.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi laman Facebook Istana Negara, suasana santai ketika sarapan dimanfaatkan kedua-dua pemimpin untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai perkembangan semasa yang mempunyai kaitan dengan kepentingan rakyat dan hala tuju negara.
Selepas sesi berkenaan, Sultan Ibrahim dan Anwar meneruskan perbincangan dalam pertemuan tertutup secara empat mata yang diadakan di Istana Bukit Tunku.
Istana Negara memaklumkan sesi pertemuan tertutup itu berlangsung lebih sejam, namun butiran lanjut mengenai perkara yang dibincangkan tidak didedahkan.










