Elepfilm Nafi Campur Tangan Pihak Luar Dalam Penarikan Tayangan Konspirasi

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbitan Elepfilm Entertainment menafikan dakwaan bahawa keputusan menghentikan tayangan filem Konspirasi dibuat akibat tekanan atau campur tangan mana-mana pihak tertentu.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat berkenaan menjelaskan bahawa tindakan tersebut diputuskan secara dalaman oleh pihak pengurusan selepas mengambil kira pelbagai faktor serta keadaan semasa yang dianggap relevan.

Menurut Elepfilm Entertainment, keputusan berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan usaha meraih publisiti atau strategi pemasaran seperti yang didakwa segelintir pihak.

“Keputusan ini dibuat sepenuhnya oleh pihak pengurusan berdasarkan pertimbangan kami sendiri. Ia bukan bertujuan mencetuskan kontroversi atau menarik perhatian umum,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan menggesa orang ramai supaya tidak terus membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat berhubung isu penarikan tayangan filem tersebut.

Pada masa sama, Elepfilm Entertainment merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan pandangan, sokongan dan maklum balas terhadap filem berkenaan sejak ia mula ditayangkan.

“Kami berharap penonton terus menyokong usaha dan komitmen tenaga kreatif yang terbabit dalam pembikinan Konspirasi, selain terus memperkasakan industri perfileman tempatan,” katanya.

Sebelum ini, penarikan serta-merta tayangan Konspirasi daripada pawagam selepas mula ditayangkan pada 21 Mei lalu mengejutkan ramai peminat filem dan penggiat industri.

Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu diterbitkan oleh Elepfilm Entertainment bersama Asia Tropical Films, dengan jalan cerita yang memfokuskan misi berbahaya anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membanteras sindiket rasuah serta kebocoran maklumat sulit.

Sementara itu, pihak media masih berusaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada penerbit, pengarah, Lembaga Penapis Filem (LPF), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan pihak berkaitan bagi mengetahui punca sebenar penamatan tayangan filem tersebut.

BBerkaitan

Latest articles