Anwar Seru Rakyat Hayati Nilai Kasih Sayang, Tolak Kebencian Sempena Hari Wesak

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia menghayati nilai-nilai murni yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat sempena sambutan Hari Wesak, khususnya dalam usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian negara.

Beliau berkata, prinsip seperti kebijaksanaan, kesederhanaan, ihsan dan kasih sayang yang diketengahkan melalui sambutan tersebut bukan sekadar amalan keagamaan, malah mempunyai nilai sejagat yang penting dalam membentuk masyarakat yang saling menghormati serta memahami antara satu sama lain.

Menurutnya, dalam sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia, mesej cinta serta belas ihsan yang dibawa oleh Hari Wesak amat signifikan, terutama ketika masih terdapat pihak tertentu yang cuba menimbulkan perpecahan dan ketegangan antara masyarakat.

“Saya percaya penyebaran cinta dan kasih sayang akan menenggelamkan hasutan kebencian, menjernihkan prasangka serta memperkukuh hormat dan persefahaman yang menjadi asas kepada keharmonian serta perpaduan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Hari Wesak, hari ini.

Anwar turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Wesak kepada seluruh penganut Buddha di negara ini dan berharap perayaan berkenaan membawa ketenangan, kesejahteraan serta kebahagiaan kepada mereka dan keluarga masing-masing.

Pada masa sama, beliau berharap sambutan itu dapat dijadikan pemangkin untuk terus menyemarakkan nilai kemanusiaan yang mampu menyatukan rakyat Malaysia sebagai sebuah bangsa yang beradab, bermaruah dan saling menghormati.

Hari Wesak disambut oleh penganut Buddha di seluruh dunia bagi memperingati tiga peristiwa penting dalam kehidupan Siddharta Gautama, iaitu kelahiran, pencerahan serta kewafatan beliau yang menjadi asas kepada ajaran agama Buddha.

BBerkaitan

Latest articles