PADANG RENGAS: Di sebalik spekulasi susulan pertukaran pengarah pilihan raya PKR, kepimpinan parti menegaskan keputusan itu adalah sebahagian daripada strategi memperkasakan jentera bagi menghadapi cabaran politik yang semakin mencabar menjelang pilihan raya akan datang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim berkata, perubahan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai petunjuk kelemahan mana-mana pemimpin, sebaliknya merupakan amalan biasa dalam sesebuah organisasi yang sentiasa menyesuaikan struktur kepimpinan mengikut keperluan semasa.
Menurutnya, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang sebelum ini memegang jawatan pengarah pilihan raya parti tetap mempunyai rekod dan pengalaman yang membuktikan keupayaannya menggalas tanggungjawab tersebut.
“Tidak timbul soal beliau tidak layak atau tidak berkemampuan kerana beliau pernah menjadi pengarah pilihan raya sebelum ini termasuk ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang menyaksikan parti berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan.
“Ini hanyalah rombakan strategik yang dilakukan bagi memastikan gerak kerja pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun, cekap dan berkesan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Belia Madani, hari ini.
Mengulas pelantikan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Kamil berkata kedua-dua pemimpin itu mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan operasi pilihan raya dan organisasi parti.
Katanya, Amirudin sebelum ini berperanan sebagai pengarah operasi pilihan raya, sekali gus memberinya pendedahan mendalam terhadap aspek perancangan, penyelarasan dan pelaksanaan strategi pilihan raya.
“Saya yakin beliau mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang diperlukan untuk memikul amanah ini dan melaksanakan tanggungjawab tersebut dengan baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa rombakan berkenaan bertujuan memperkukuhkan kesiapsiagaan parti di semua peringkat bagi memastikan PKR berada dalam keadaan terbaik untuk menghadapi sebarang pilihan raya yang bakal diadakan.










