MyNIISe Dilancar Jun Ini, Perkukuh Keselamatan Identiti, Sistem Imigresen Negara

PUTRAJAYA: Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (MyNIISe) dijangka dilaksanakan sepenuhnya bermula Jun ini, selaras dengan pengenalan ciri keselamatan baharu pada MyKad dan pasport dalam usaha memperkukuh pengurusan identiti negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan sistem berkenaan menjadi langkah penting dalam memperkemas tadbir urus identiti selain memastikan urusan pergerakan rakyat lebih tersusun dan efisien.

Menurut beliau, dokumen pengenalan baharu yang bakal diperkenalkan akan dilengkapi teknologi keselamatan terkini bagi memenuhi keperluan semasa serta menangani cabaran keselamatan yang semakin kompleks.

“Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia telah bersedia dengan pelan pelaksanaan rapi. Kita yakin fasa peralihan ini dapat dilalui dengan lancar, memandangkan persiapan telah dilakukan sejak sekian lama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, MyNIISe dibangunkan dengan menyediakan pelbagai prasyarat penting termasuk keupayaan menyokong pengurusan permohonan kewarganegaraan seperti diperuntukkan dalam pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, KDN dilaporkan giat melaksanakan proses naik taraf sistem serta migrasi data bagi meningkatkan keselamatan maklumat selain memastikan perkhidmatan imigresen lebih stabil, cekap dan mesra pengguna.

MyNIISe bakal menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang telah digunakan lebih dua dekad, memandangkan sistem sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan semasa termasuk peningkatan jumlah pergerakan rentas sempadan serta integrasi data yang lebih kompleks.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin memaklumkan Malaysia juga akan memperkenalkan MyKad dan pasport versi baharu dalam tempoh terdekat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan dokumen rasmi negara.

Beliau menegaskan, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyediakan sistem yang lebih cekap, sekali gus menangani isu serta aduan rakyat berkaitan pengurusan identiti.

Pada masa sama, aspek kawalan sempadan terus diberi keutamaan dengan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman keselamatan.

“Kecekapan sistem imigresen adalah antara KPI utama KDN tahun ini. Sempadan negara perlu dipertahankan daripada sebarang pencerobohan atau kegiatan sindiket yang melanggar undang-undang,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles