KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr M Saravanan tampil mempertahankan dirinya dengan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menafikan penglibatan dalam isu pengambilan pekerja asing yang dikaitkan dengan dirinya.
Timbalan Presiden MIC itu dalam surat bertarikh 24 Ogos mendakwa dua individu yang pernah ditahan berkaitan kes berkenaan ditekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya memberikan kenyataan yang mengaitkan namanya.
Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menegaskan, beliau mahupun ahli keluarganya tidak pernah terlibat secara langsung dalam urusan pengambilan pekerja asing sepanjang beliau menjadi Menteri Sumber Manusia.
Menurutnya, keseluruhan proses ketika itu dikendalikan menerusi sistem Foreign Workers Centralized Management System (FWCMS) sebelum syarikat yang layak dibawa ke pusat sehenti khas (OSC).
Beliau mendakwa sebagai menteri, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai syarikat yang memohon atau dipilih untuk menghadiri sesi temu duga.
Saravanan turut mendakwa dua ahli perniagaan, Syed Amirul dan Siva Ganesan, yang ditahan pada Ogos 2022 berhubung perkara itu, berdepan tekanan untuk mengaitkan namanya.
Katanya, Syed Amirul dibebaskan selepas empat hari selepas didakwa bersetuju memberikan kenyataan berhubung dirinya, manakala isterinya turut didakwa menerima ugutan untuk ditahan.
Siva Ganesan pula, menurut Saravanan, direman enam hari kerana enggan memberikan kenyataan yang mengaitkannya, walaupun individu terbabit menghidap penyakit kronik dan perlu menjalani rawatan dialisis.
Saravanan berkata, Syed Amirul dan isterinya kemudian membuat Akuan Bersumpah pada 22 September 2022 bagi menjelaskan perkara itu dan salinannya diserahkan kepada SPRM.
Beliau mendakwa SPRM pada 26 Jun 2023 memulangkan wang jaminan RM10,000 dan memaklumkan kes berkenaan telah selesai tanpa siasatan terhadapnya.
Namun, dakwanya, Syed Amirul dan isterinya dipanggil semula untuk soal siasat pada November 2025 sebelum satu lagi Akuan Bersumpah dibuat bagi menegaskan dakwaan berhubung tekanan yang diterima sebelum ini.
Syed Amirul meninggal dunia pada 28 Julai lalu.
Saravanan kemudian mempersoalkan tindakan SPRM yang didakwanya masih meneruskan kes berkenaan selepas kematian individu yang dianggapnya sebagai saksi utama.
Beliau turut menafikan pernah menerima atau menyimpan wang tunai serta bahan bukti material berkaitan kes itu, selain menegaskan tiada arahan pernah dikeluarkannya kepada pegawai kerajaan berhubung pengambilan pekerja asing.
Menurutnya, beliau turut beberapa kali bertemu Anwar sejak November 2025 dan mendakwa Perdana Menteri sebelum ini memberi jaminan bahawa tiada tindakan akan dikenakan terhadapnya.
Bagaimanapun, Saravanan mendakwa SPRM kemudiannya mengambil tindakan undang-undang dan membuka semula siasatan terhadapnya secara tiba-tiba.
Beliau meminta Anwar campur tangan dan mengambil tindakan sewajarnya sambil mendakwa kes itu tidak mempunyai asas serta menyifatkan tindakan terhadapnya sebagai penganiayaan bermotifkan niat jahat.
Surat berkenaan mula tular selepas media melaporkan SPRM mengesahkan seorang bekas menteri akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.










