KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia membidas tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggunakan laras bahasa kesat berhubung isu lesen premis perjudian di negeri berkenaan.
Naib Ketua AMK Malaysia, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penggunaan perkataan seperti “celaka” dan “pelaq” bukan sekadar serangan peribadi ke atas Perdana Menteri, malah disifatkan sebagai satu penghinaan terbuka terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan serta kemuliaan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, isu berkenaan bukanlah berlegar soal sama ada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan mahu atau tidak meluluskan lesen perjudian, sebaliknya ia melibatkan pematuhan penuh kepada undang-undang negara.
”Mahkamah Persekutuan telah memuktamadkan keputusan yang jelas berhubung sempadan bidang kuasa antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
”Justeru, isu perundangan ini tidak sepatutnya dijadikan modal politik murahan untuk menunggang sentimen dan emosi rakyat di pentas ceramah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sungai Petani itu menegaskan bahawa pendirian menolak amalan perjudian dan usaha membendung kemudaratan akibatnya sememangnya difahami serta dihormati oleh semua pihak.
Namun, beliau menyarankan agar Kerajaan Negeri Kedah mengambil langkah yang lebih profesional sekiranya benar-benar ikhlas mahu menyelesaikan kemelut perundangan tersebut.
”Pertamanya, minta Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah menyemak semula perihal sempadan bidang kuasa dan perundangan secara teratur berlandaskan lunas undang-undang yang sah.
”Kedua, tunjukkan teladan kepimpinan Islam dengan menolak budaya politik maki hamun di hadapan khalayak yang mencemarkan imej agama, sebaliknya mempamerkan akhlak perdebatan yang tinggi,” jelas beliau.
Taufiq turut menambah, tugas pembangkang untuk mengkritik serta menjadi imbang dan periksa amat dialu-alukan, namun ia wajib dilaksanakan berteraskan fakta, dasar dan kewarasan akal, bukannya menerusi caci maki yang merendahkan institusi kehakiman negara.










