PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) menyaksikan dua tokoh berprofil tinggi direman selama tujuh hari.
Kedua-dua mereka ialah seorang ahli politik yang pernah menerajui TH sebagai pengerusi dan seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Perintah reman terhadap kedua-dua individu bergelar Datuk Seri dan Tan Sri itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Mereka direman sehingga 2 September bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes yang dikaitkan dengan penemuan dalam laporan RCI mengenai pengurusan institusi berkenaan.
Kedua-dua lelaki berusia 60-an itu tiba di mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga serta tangan bergari, sebelum dibawa masuk ke mahkamah oleh pegawai SPRM.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, iaitu berkaitan kesalahan menggunakan kedudukan atau jawatan untuk mendapatkan suapan.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas SPRM sebelum ini memperoleh perintah reman terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH bagi membantu siasatan sama.
Lelaki berusia 60-an itu sebelum ini direman tujuh hari sehingga hari ini.
Secara keseluruhan, SPRM sebelum ini dilaporkan menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berhubung laporan RCI berkenaan, termasuk empat bekas anggota pengurusan kanan TH.
RCI berkenaan ditubuhkan untuk meneliti pengurusan, operasi serta aset TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, termasuk isu yang menyentuh kedudukan kewangan dan tadbir urus institusi berkenaan.
Antara perkara yang menjadi perhatian ialah dakwaan bahawa kedudukan kewangan sebenar TH tidak didedahkan sepenuhnya, termasuk kerugian berkaitan pelaburan bermasalah yang tidak direkodkan.
Laporan itu turut menyentuh penggunaan kaedah yang disifatkan sebagai ‘perakaunan kreatif’ bagi membolehkan agihan keuntungan tahunan dibuat walaupun kedudukan kewangan sebenar institusi berkenaan didakwa berdepan masalah.
Lebih serius, RCI turut mengaitkan kemelut kewangan TH dengan beberapa faktor termasuk campur tangan politik dalam pelantikan ahli lembaga pengarah serta pembayaran hibah yang didakwa tidak mampan.
Laporan itu juga menyentuh tindakan Jabatan Audit Negara yang didakwa melunakkan beberapa dapatan audit atas kebimbangan terhadap kesan kepada keyakinan pendeposit.
Siasatan SPRM kini memberi tumpuan kepada sama ada wujud unsur penyalahgunaan kedudukan atau penerimaan suapan dalam perkara yang dibangkitkan menerusi laporan RCI berkenaan.










