PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menyangkal kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berhubung isu lesen perjudian di negeri itu yang didakwa boleh mengelirukan rakyat serta memberi gambaran tidak tepat mengenai dasar Kerajaan Persekutuan.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, MOF berkata laporan media berhubung kenyataan berkenaan seolah-olah memberi gambaran bahawa Kerajaan MADANI tidak mengawal aktiviti perjudian atau telah meluluskan lesen baharu bagi menambah bilangan premis perjudian di Kedah.
Sebaliknya, kementerian itu menegaskan Kerajaan MADANI tidak pernah meluluskan permit baharu atau menambah bilangan cawangan kedai perjudian di seluruh negara.
“Kerajaan MADANI tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit perjudian baharu dan tidak menambah bilangan kedai perjudian baharu.
“Jumlah lesen dan permit yang berkuat kuasa kekal berdasarkan jumlah kelulusan lesen sedia ada sejak tahun 1990-an,” menurut kenyataan itu.
MOF turut menjelaskan bahawa sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan antara 2020 hingga 2022, yang turut merangkumi Pas, tidak pernah wujud sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada.
Menurut kementerian itu, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) pada 2020 pernah memutuskan untuk mengurangkan kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun.
Bagaimanapun, pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada tahun sama kemudiannya meningkatkan semula kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.
MOF berkata, selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada penghujung 2022, antara keputusan terawal dibuat adalah membatalkan peningkatan tersebut dan mengurangkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun, berkuat kuasa Januari 2023.
Dalam pada itu, kementerian menegaskan kawal selia terhadap aktiviti perjudian berlesen terus dilaksanakan melalui penetapan syarat ketat kepada semua pemegang lesen yang masih beroperasi.
“Kerajaan MADANI terus mengambil pendekatan tegas dan bertanggungjawab dengan mengehadkan aktiviti perjudian berlesen, memastikan kawal selia yang ketat serta memperhebat tindakan terhadap perjudian tanpa lesen dan perjudian dalam talian,” katanya.
MOF berkata pendekatan itu mencerminkan dasar kerajaan untuk memastikan aktiviti perjudian berlesen terus dikawal secara ketat, di samping membanteras kegiatan perjudian yang beroperasi tanpa lesen dan secara dalam talian.










