‘Bukan Momen Gemilang, Insiden Maruah Yang Kelam’

KUALA LUMPUR: Kehadiran tiga bekas Perdana Menteri di mahkamah pada hari dan lokasi yang sama bagi pertuduhan berbeza bukan satu pencapaian yang boleh dibanggakan, sebaliknya menyentak maruah kedaulatan negara.

Pemerhati media, Sayed Munawar Sayed Mustar menegaskan, peristiwa bersejarah itu sepatutnya diterima dengan emosi gundah oleh seluruh rakyat Malaysia kerana ia mencerminkan realiti amalan rasuah yang merosakkan negara dari dalam.

“Hari ini dalam sejarah, tiga mantan PM hadir bicara di lokasi dan pada hari sama untuk pertuduhan berbeza.

“Ia merupakan momen berita yang perlu dibaca dengan emosi gundah.

“Ia bukan momen gemilang. Ia insiden maruah yang kelam. Hanya di Malaysia, sejarah pertuduhan yang besar,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Peristiwa yang disifatkan luar biasa itu menyaksikan kehadiran bekas Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak; bekas Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan bekas Perdana Menteri Ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Najib berada di mahkamah bagi prosiding saman sivil membabitkan dana 1MDB, manakala Muhyiddin berdepan perbicaraan berkaitan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram menerusi program Jana Wibawa.

Sementara itu, hari ini Ismail Sabri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berhubung pertuduhan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berkaitan kegagalan pengisytiharan aset.

Mengulas lanjut, Sayed Munawar mencadangkan agar peristiwa berkenaan dirakam secara rasmi dalam silibus pembelajaran sejarah di sekolah sebagai iktibar berpanjangan kepada generasi muda.

Jelas beliau, rekod sejarah itu wajar diletakkan sebaris dengan pengajian berkaitan ancaman musuh negara sama ada sebelum mahupun selepas merdeka bagi memupuk penolakan total terhadap amalan rasuah.

“Sejarah maruah sebuah kedaulatan, dirobek dari dalam, bukan oleh marhaien, tetapi oleh MO1 jujukan tiga edisi yang bakal dihakimi melewati garis prima facie.

“Perlu dirakam dalam teks sejarah diasuh di sekolah sebaris dengan pengajian ancaman musuh negara, agar terbit rasa jijik kepada amalan rasuah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kekecewaan terhadap sikap sesetengah pihak yang dilihat seakan lali dan tidak mengendahkan pengulangan episod kelam dalam kancah politik tanah air.

“Entah mengapa ada sisi kelam yang berulang seolah-olah rakyat tidak kisah, asal saja cukup nasi di dalam pinggan, memadailah, agaknya.

“Tiga PM. Entah negara mana yang mampu memecahkan rekod itu,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles