Mayat Dikerat Dibuang Berasingan, Kepala, Badan Ditemui Di Lokasi Berbeza

KOTA KINABALU: Misteri penemuan anggota badan manusia di tempat pembuangan sampah di Taman Indah Permai awal pagi tadi akhirnya membawa kepada penemuan lebih mengejutkan apabila kepala dan badan mangsa ditemui tidak lama kemudian.

Sekitar jam 11.40 pagi, polis yang menjalankan operasi pencarian susulan berjaya menemukan bahagian kepala dan badan di satu lagi lokasi pembuangan sampah berhampiran sebuah pasar raya di kawasan sama.

Terdahulu, suasana gempar tercetus apabila pekerja kutipan sampah menemui tangan dan kaki manusia ketika sedang memindahkan sampah ke dalam lori.

Anggota badan itu dilaporkan terjatuh secara tiba-tiba dari tong sampah, sebelum disedari pekerja berkenaan.

Difahamkan, tangan yang ditemui bermula dari tapak tangan hingga ke bahu, manakala kaki pula dari tapak kaki hingga ke pangkal paha.

Lokasi awal penemuan adalah di kawasan pembuangan sampah berhampiran tempat letak kereta bersebelahan pasar raya terbabit.

Susulan laporan dibuat, polis melancarkan gerakan mencari dengan bantuan pekerja kutipan sampah, yang akhirnya membawa kepada penemuan bahagian lain mayat di lokasi berasingan.

Bagaimanapun, sehingga tengah hari tadi, masih terdapat sebelah lagi tangan dan kaki yang belum ditemui.

Pihak polis kini giat meneruskan siasatan bagi mengenal pasti identiti mangsa serta motif kejadian.

BBerkaitan

Latest articles