PH Dakwa Kerjasama BN-PN Didorong Perebutan Kuasa

SEREMBAN — Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mendakwa kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Negeri Sembilan ke-16 didorong oleh perebutan kuasa, bukannya usaha memperkukuh perpaduan ummah.

PH dalam kenyataan bersama hari ini berkata, konsep perpaduan ummah pada asasnya merupakan sesuatu yang baik, namun perlu dinilai berdasarkan tujuan perpaduan itu dibentuk.

Menurut kenyataan itu, perpaduan sepatutnya digunakan untuk membantu dan menyokong kerajaan yang menunjukkan prestasi baik, bukan bagi menjatuhkannya tanpa alasan munasabah.

“Bagi kami, perpaduan yang dibentuk oleh BN dan PN ini adalah demi kuasa, bukan demi perpaduan ummah. Sejak awal krisis Negeri Sembilan, semuanya kerana mahukan kuasa dan bukan kerana kepentingan Islam,” menurut kenyataan tersebut.

PH turut mempersoalkan kenyataan seorang pemimpin utama BN yang didakwa mengajak penyokongnya “mengejar” dan “melanyak” individu yang dirujuk sebagai Tok Min di Linggi.

Gabungan itu mendakwa kenyataan sedemikian boleh menanamkan kebencian dan kemarahan terhadap seseorang yang tidak dibuktikan melakukan sebarang kesalahan.

Dalam pada itu, PH berkata sebarang perpaduan yang dibina semata-mata berdasarkan kaum atau kelompok boleh menjurus kepada fahaman asabiah.

Sebaliknya, gabungan berkenaan menegaskan bahawa perjuangannya adalah untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama berlandaskan kebaikan serta ketakwaan.

“Kami mahu orang Melayu, Cina, India dan seluruh rakyat Malaysia bersatu, bukan atas dasar asabiah tetapi atas dasar kebaikan dan ketakwaan,” menurut kenyataan itu.

PH berkata gerak kerja dan perjuangannya merangkumi kepentingan semua rakyat, termasuk masyarakat Melayu, Cina, India serta kaum-kaum lain.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengarah Komunikasi PH merangkap Ketua Penerangan Keadilan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad; dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin.

BBerkaitan

Latest articles