KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengumumkan akan menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ahad ini selepas hampir 35 tahun berbakti kepada pasukan keselamatan negara.
Beliau berkata, Ahad ini merupakan hari terakhirnya sebagai anggota PDRM selepas melalui perjalanan kerjaya yang panjang sejak menyertai pasukan itu.
“Insya-Allah, Ahad ini adalah hari terakhir saya dalam pasukan selepas berkhidmat hampir 35 tahun bersama polis,” katanya pada sidang media selepas pelancaran buku biografinya, From Pendang to Bukit Aman: The Integrity Journey of Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, hari ini.
Sepanjang kariernya, Ayob pernah memegang beberapa jawatan strategik termasuk Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Jun 2023.










