Zahid Balas Pantun Anwar, Tegaskan Tiada ‘Langkah Bangkok’, ‘Langkah Dubai’ Gugat Kerajaan

SEREMBAN: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membalas pantun yang dikarang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sambil menegaskan komitmen Barisan Nasional (BN) untuk terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.

Pengerusi BN itu berkata, pantun berkenaan dihasilkannya malam tadi selepas membaca hantaran Anwar di Facebook yang dilihat membawa mesej perpaduan dan meredakan ketegangan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketika ditemui pada sidang media di Bahang Bay Hotel, Zahid mendendangkan rangkap pantun ciptaannya:

“Mendaki ke Gunung Tahan,
Jatuh ke gaung, temui maut.
Bumbung tercabut, mampu ditahan,
Jika ribut, diterbang ke laut.”

Semalam, Anwar yang juga Pengerusi PH memuat naik pantun di Facebook dengan mesej menyeru agar hubungan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan terus dipelihara.

“Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan.
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.”

Mengulas spekulasi mengenai kemungkinan wujud gerakan menjatuhkan kerajaan, Zahid menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Beliau menegaskan BN tidak pernah berniat untuk menarik sokongan terhadap pentadbiran Anwar, malah kekal berpegang kepada komitmen yang dipersetujui ketika pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Saya tiada niat langsung.

“Tiada Langkah Bangkok, tiada Langkah Dubai. Tidak ada.

“Apabila kami komited untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, kami akan terus bersama sehingga berakhirnya penggal Parlimen ke-15,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles