KUALA LUMPUR, — Semua pihak perlu menghentikan polemik berkaitan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan pendeposit, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Razlan Rafii.
Beliau berkata sebarang kenyataan mengenai institusi pengurusan ibadah haji itu perlu berlandaskan fakta dan tidak digunakan sebagai bahan politik sehingga menjejaskan keyakinan umat Islam.
Razlan mendakwa dakwaan bahawa TH pernah mengalami kerugian atau menanggung liabiliti berjumlah RM30 bilion tidak dibuktikan menerusi siasatan dan audit yang telah dijalankan.
“Jika mahu membangkitkan isu Tabung Haji, gunakan fakta yang tepat dan jangan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit.
“Perkara seperti ini pernah menyebabkan sebahagian pendeposit mengeluarkan simpanan kerana bimbang Tabung Haji akan berdepan masalah,” katanya dalam hantaran video yang dimuatnaik melalui tiktoknya.
@razlanrafii Jangan sampai Tabung Haji pun nak ditipu Faktanya … sudahlah tak menambah untung .. di Tabur Racun lagi … #ph #pn #bn ♬ Motivation epic – Ofyra
Beliau berkata tumpuan kerajaan sepatutnya diberikan kepada usaha memperkukuh keuntungan TH supaya manfaatnya dapat dikembalikan kepada pendeposit menerusi agihan keuntungan serta subsidi kos menunaikan ibadah haji.
Razlan berkata pada masa lalu, TH diberikan peluang pelaburan dalam sektor hartanah dan perladangan, termasuk pembangunan hotel berhampiran lapangan terbang serta tanah bagi industri kelapa sawit.
Menurutnya, pelaburan sedemikian diwujudkan bagi memberikan pulangan jangka panjang dengan risiko terkawal, sekali gus membantu institusi itu menawarkan kos menunaikan haji yang lebih rendah.
Beliau turut mempersoalkan penjualan beberapa aset TH ketika pentadbiran Pakatan Harapan yang didakwanya kini mencatatkan keuntungan lebih tinggi.
“Keuntungan itu sepatutnya dapat dinikmati pendeposit dan digunakan untuk membantu jemaah menunaikan haji pada kadar yang lebih berpatutan,” katanya.
Razlan berkata kerajaan juga perlu merangka peluang pelaburan baharu yang mampan bagi memastikan peningkatan jumlah simpanan pendeposit dapat diuruskan secara produktif.
Beliau berkata perbincangan mengenai TH harus menjurus kepada penyelesaian, termasuk kaedah meningkatkan pulangan pelaburan serta mengurangkan beban kos yang ditanggung bakal jemaah.
“Fikirkan bagaimana keuntungan Tabung Haji boleh ditingkatkan dan bagaimana jemaah dapat menunaikan haji dengan kos lebih rendah. Itu yang patut diusahakan,” katanya.










