Jalaluddin: Kejayaan N. Sembilan Bukan Milik PH Semata-Mata, Hasil Kesinambungan Pentadbiran BN

JELEBU: Kejayaan pembangunan dan kestabilan yang dinikmati Negeri Sembilan hari ini bukan hasil usaha Pakatan Harapan (PH) semata-mata, sebaliknya merupakan kesinambungan daripada asas pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini serta kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, sepanjang tempoh dua tahun lapan bulan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, BN memainkan peranan penting menerusi 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan negeri.

Menurut beliau, walaupun Datuk Seri Aminuddin Harun menerajui pentadbiran sebagai Menteri Besar, segala pencapaian kerajaan negeri adalah hasil usaha kolektif dan bukannya kejayaan satu parti sahaja.

“Jangan kata semua hasil dan kejayaan itu adalah ciptaan serta sumbangan PH semata-mata.

“Apa yang dikecapi hari ini adalah kesinambungan daripada kepimpinan BN terdahulu, selain kestabilan yang diwujudkan melalui kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui pada program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), pada Rabu.

Calon BN bagi DUN Pertang itu berkata, beliau sendiri memainkan peranan sebagai Exco Kanan dalam kerajaan negeri dan menyifatkan pencapaian yang diraih merupakan hasil kerjasama erat antara BN dan PH.

Sehubungan itu, beliau berpandangan PH tidak seharusnya menafikan sumbangan BN sepanjang tempoh bersama mentadbir negeri kerana rakyat mengetahui peranan yang dimainkan oleh kedua-dua parti.

Menurutnya, adalah tidak adil jika semua kejayaan kerajaan negeri dikaitkan dengan seorang pemimpin atau satu parti sahaja.

“Kalau saya menjadi Menteri Besar ketika itu, sudah tentu saya tidak akan mendakwa semua kejayaan itu hasil usaha saya seorang.

“Sudah pasti ada sumbangan daripada rakan-rakan dalam kerajaan. Jadi, tepuk dada tanya selera sama ada dakwaan semua kejayaan itu milik PH semata-mata benar ataupun tidak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Jalaluddin turut menepis dakwaan kononnya UMNO-BN menolak cadangan mengehadkan tempoh jawatan Menteri Besar kepada dua penggal.

Beliau menjelaskan cadangan tersebut merupakan manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ketika BN berada di blok pembangkang dan tidak terlibat dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Itu manifesto PH pada 2018. Ketika itu BN ialah pembangkang, jadi kami tidak terlibat dalam soal menyokong atau menolak had dua penggal bagi jawatan Menteri Besar,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles