SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) bakal tampil dengan manifesto yang memberi penekanan kepada usaha menyambung semula agenda pembangunan Negeri Sembilan yang terhenti selepas gabungan itu kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto yang dijadual dilancarkan malam esok bukan sekadar menawarkan janji baharu, sebaliknya memperkukuh asas pembangunan yang telah dirancang sebelum ini demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Menurut beliau, banyak perancangan telah tersedia ketika BN mentadbir negeri itu, namun tidak dapat diteruskan selepas kekalahan pada 2018.
“Manifesto ini pada asasnya menyambung kerja yang tergendala selepas kita tewas pada 2018. Asas sudah ada dan kini kita hanya mahu memperkemaskan serta meneruskan pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Santai Bersama Tok Mat Hasan di Pedas, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mohamad yang juga Menteri Luar menolak dakwaan kononnya manifesto BN bagi PRN Negeri Sembilan hanyalah salinan manifesto yang digunakan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.
Beliau menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai perang psikologi pihak lawan bagi mengelirukan pengundi.
“Itu tidak benar. BN tidak pernah menciplak manifesto mana-mana pihak. Ia hanya perang psikologi mereka,” tegasnya.
Mengulas mengenai calon Menteri Besar atau ‘poster boy’ BN, Mohamad berkata perkara itu belum diputuskan kerana fokus utama ketika ini adalah memastikan kemenangan pada pilihan raya.
Katanya, soal kepimpinan negeri hanya akan diputuskan selepas BN memperoleh mandat daripada rakyat.
“Yang penting sekarang ialah bekerja kuat, jalankan kempen dengan baik dan pastikan kita menang terlebih dahulu. Selepas itu parti akan menentukan siapa yang paling sesuai mentadbir negeri,” katanya.
Sementara itu, beliau turut mengulas cadangan Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin supaya persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) dinamakan sebagai Perikatan Barisan Nasional.
Mohamad menegaskan cadangan itu hanyalah pandangan peribadi Hamzah dan tidak mencerminkan pendirian BN.
Beliau menjelaskan persefahaman antara BN dan PN dalam PRN Negeri Sembilan hanya bertujuan mengelakkan perpecahan undi orang Melayu, bukannya membentuk gabungan politik baharu.
“BN kekal sebagai BN. Kita hanya menjalinkan persefahaman bagi menghadapi pilihan raya ini dan tidak bercadang mewujudkan gabungan baharu dengan mana-mana parti.
“Masing-masing kekal dengan parti sendiri. Setakat ini tiada sebarang perancangan atau jangkaan untuk membentuk kolaborasi politik baharu,” katanya.










