KUALA LUMPUR, — Cadangan pengambilalihan dan pertukaran saham antara Sunway Berhad dan IJM Corporation Berhad kini mencetuskan kebimbangan serius apabila Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) secara terbuka menolaknya dan mendakwa transaksi itu berisiko menggadaikan kepentingan negara, dana awam serta ekuiti Bumiputera.
Dalam satu kenyataan media hari ini, PERDASAMA menyifatkan cadangan pengambilalihan bernilai kira-kira RM11 bilion itu bukan sekadar urus niaga korporat biasa, sebaliknya melibatkan pemindahan aset strategik negara menggunakan struktur kewangan yang tidak seimbang dan berisiko tinggi kepada jutaan pencarum dan pelabur Bumiputera .
Menurut PERDASAMA, struktur tawaran tersebut melibatkan hanya 10 peratus bayaran tunai, manakala 90 peratus lagi dibayar melalui penerbitan saham baharu Sunway pada harga RM5.65 sesaham. Mereka mendakwa pendekatan ini membolehkan Sunway menggunakan saham yang sedang diniagakan pada penilaian tinggi sebagai “mata wang” untuk mengambil alih IJM yang ketika ini diniagakan hampir dengan nilai aset sebenar .
Persatuan itu turut mempersoalkan keadilan transaksi tersebut apabila saham Sunway didakwa diniagakan pada lebih dua kali ganda nilai aset ketara, manakala IJM pula dinilai murah oleh pasaran. Keadaan ini, menurut PERDASAMA, secara asasnya memindahkan nilai daripada pemegang saham IJM kepada pihak pengambil alih .
Lebih membimbangkan, PERDASAMA menegaskan bahawa pemegang saham utama IJM terdiri daripada institusi pelaburan milik rakyat seperti KWSP, PNB, KWAP dan Tabung Haji. Sekiranya transaksi ini diteruskan dan harga saham Sunway merosot pada masa depan, kerugian berpotensi akan ditanggung oleh dana rakyat, bukan oleh pihak korporat yang menguasai pengambilalihan tersebut .
Sehubungan itu, PERDASAMA mendesak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, supaya campur tangan secara langsung bagi menggantung transaksi berkenaan. Mereka juga menuntut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia menjalankan siasatan penuh terhadap pergerakan serta penilaian saham Sunway sebelum sebarang kelulusan diberikan .
PERDASAMA menegaskan isu ini adalah soal dasar dan maruah ekonomi negara, bukan semata-mata kecekapan pasaran. Menurut mereka, membenarkan transaksi sedemikian hanya akan mempercepatkan kehilangan aset strategik Bumiputera dan menukar pemilikan sebenar negara dengan pegangan minoriti dalam syarikat yang nilainya disifatkan berisiko dan tidak realistik .










