Zahid: Penyerahan Hak Milik Harta UMNO Disambut Baik, Pembangkang Main Isu Lapuk di Air Kuning

TAPAH,- Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik sekiranya benar penyerahan hak milik harta UMNO telah dilaksanakan oleh mana-mana pemegang amanah parti. Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai satu langkah yang positif, dengan syarat ia dilakukan secara ikhlas dan mengikut prosedur.

“Baguslah jika benar beliau telah menandatangani penyerahan tersebut, maka itu satu perkara yang baik. Jika terdapat masalah teknikal seperti kesilapan ejaan atau nama, itu boleh diperbaiki. Kita tidak ada masalah sekiranya pemegang amanah benar-benar ikhlas menyerahkan semula apabila tempoh amanah telah selesai,” katanya ketika sidang media selepas majlis santuni kasih syawal bersama masyarakat orang asli di Kampung Sungai Keroh, Air Kuning, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa UMNO bersikap terbuka dan berlapang dada dalam hal tersebut, dan menafikan pernah menyebut mana-mana nama individu secara khusus.

“Saya tidak pernah menyebut nama beliau. Hanya apabila ditanya oleh wartawan, saya menjawab ‘seseorang’,” katanya lagi.

Isu UMNO-DAP Tidak Lagi Relevan

Mengulas mengenai sentimen anti-UMNO-DAP yang dimainkan dalam ceramah-ceramah pembangkang sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Air Kuning, Zahid menyifatkan ia sebagai isu lapuk yang tidak memberi kesan kepada pemikiran matang pengundi.

“Dulu mereka juga pernah bekerjasama, jadi tidak timbul isu ini sebenarnya. Saya percaya pengundi di Air Kuning tidak tertarik, apatah lagi terpengaruh dengan isu-isu tersebut,” ujarnya.

Beliau turut mengkritik pembangkang yang hanya baru mencadangkan pelbagai projek pembangunan menjelang pilihan raya.

“Baguslah jika cadangan pembangunan itu dibuat sejak dahulu lagi. Tapi kalau di Air Kuning baru sekarang hendak dicadangkan, saya rasa itu hanyalah mimpi di siang hari,” katanya sinis.

Jentera BN-PH Digembleng Sepenuhnya

Zahid turut memberi jaminan bahawa kesiapsiagaan jentera Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berada di tahap optimum dalam menghadapi hari pengundian.

“Kita telah turun ke akar umbi melalui pelbagai pendekatan. Kita berharap pengundi di Air Kuning akan terus memberikan dokongan kepada calon Barisan Nasional demi kesinambungan perkhidmatan seperti yang telah ditunjukkan oleh penyandang, Ishsam Shahruddin,” katanya.

Menurut beliau, serangan bertali arus daripada pembangkang setakat ini hanyalah berbentuk isu remeh dan tidak mencerminkan aspirasi sebenar penduduk tempatan.

“Memang menjadi kelaziman bagi pihak lawan membangkitkan isu titik bengik yang tidak relevan dengan masyarakat setempat,” katanya.

Yakin Kepimpinan Negeri

Zahid turut menzahirkan keyakinan terhadap khidmat Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan serta kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Saya fikir mereka telah sedar bahawa PN kehilangan sokongan di Air Kuning. Kita yakin dengan Ahli Parlimen yang ada, Datuk Seri M. Saravanan, yang telah pun memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan ini termasuk Air Kuning,” katanya.

“Kita juga yakin dengan kepimpinan YAB Datuk Seri Saarani Mohamad yang setakat ini terbukti sebagai pemimpin terbaik untuk memberikan perkhidmatan di seluruh negeri Perak, termasuk Air Kuning.”

Pilihan Raya Kecil DUN Air Kuning akan menyaksikan pertembungan utama antara calon Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, dengan hari pengundian dijadualkan pada 26 April ini.

BBerkaitan

Latest articles