Malaysia Usaha Bawa Pulang Dua Rakyat Yang Sedang Ditahan Di Guantanamo

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kerajaan sedang berusaha membawa pulang dua warga Malaysia yang ditahan di Penjara Guantanamo Bay, Cuba.

Saifuddin berkata hasrat berkenaan diutarakan di dalam pertemuannya dengan Wakil Khas Hal Ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow, yang berlangsung di New York baru-baru ini.

“Sewaktu di New York saya bertemu dengan TYT Tina Kaidanow. Ini adalah pertemuan kedua saya dengan TYT Tina Kaidanow serta pertemuan susulan daripada lawatan saya ke Guantanamo Bay.

“Saya bertemu sendiri dengan kedua-dua warga Malaysia yang ditahan di sana. Kisah mereka membuatkan saya benar-benar tersentuh. Ini bertitik- tolak mengenai kehidupan, keinsafan, peluang menjadi insan lebih baik.

“Kita akan usaha mempercepat urusan mereka kembali ke Malaysia,” katanya di Facebook.

Kedua-dua yang sedang menjalani pemenjaraan di negara berkenaan adalah Mohammed Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin yang berdepan beberapa pertuduhan di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat, termasuk tujuh berkaitan pengeboman.

Mereka didakwa terbabit serangan bom di Bali pada November 2002 yang mengakibatkan 202 orang maut dan serangan di Hotel JW Marriott, Jakarta, pada Ogos 2003 yang membunuh 12 orang.

Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dimasukkan ke dalam kurungan bersendirian di lokasi rahsia dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Guantanamo Bay pada 2006.

Perbicaraan mereka bermula Ogos 2021.

BBerkaitan

Latest articles