Lelaki Sebabkan Kematian Penunggang Ducati Mengaku Tak Bersalah, Diarah Uji Kesihatan Mental

KUALA LUMPUR: Seorany bekas pemandu lori hari ini mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menunggang motosikal secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Ducati Panigale.

Muzyadaha Mohammad, 41, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhannya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Mengikut kertas pertuduhan, Muzyadaha Mohammad pada 14 Jun 2023 jam 1.10 di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) sebagai penunggang motosikal Yamaha telah menunggang kenderaan itu dengan cara melawan arus jalan setelah mengambil tentang segala hal keadaan merbahaya kepada awam telah menyebabkan kematian terhadap penunggang motosikal bernama Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan tangan kanan berbalut didakwa melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi daripada RM50,000.

Sabit kesalahan juga, tertuduh boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun daripada tarikh sabitan kesalahan dan hal sabitan kedua atau kemudian hilang kelayakan selama 10 tahun.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran manakala tertuduh diwakili peguam Izleen Ismail daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Annur Athirah mencadangkan jaminan RM15,000 dan syarat tambahan iaitu pasport Muzyadaha ditahan sehingga perbicaraan selesai.

Bagaimanapun, Izleen berkata, anak guamnya yang merupakan individu berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat mencadangkan Muzyadaha menjalani pemeriksaan mental di hospital di Ulu Kinta, Perak bagi menentukan keadaan kewarasan tertuduh semasa kejadian.

“Anak guam saya mengambil ubat untuk mengawal anxiety dari psikiatri, semasa kejadian, tertuduh tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran secara berlawanan, maka saya dengan rendah diri memohon mahkamah menggunakan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah untuk menghantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta menjalani ujian psikiatri.

Menurut Izleen, Muzyadaha yang mengalami kecederaan fizikal dan patah tangan kanan membuktikan semasa kejadian dia tidak dapat berfikir dengan waras iaitu berlaku masalah pemikiran berlawanan.

“Selain dia juga merupakan bekas pemandu kereta api dan bekerja sebagai pemandu lori sebelum ini sudah berkahwin dengan tiga cahaya mata dengan anak sulung menduduki SPM dan faktor kewangan memberi tekanan kepadanya.

“Selepas terlibat kemalangan beberapa kali sehingga hilang kerja memandu lori yang berpendapatan RM2,200 keadaannya bertambah meruncing dan dia mendapatkan rawatan rawatan di klinik dan mengambil ubat dipercayai untuk prikiatri dan merayu wang jaminan rendah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annur Athirah berkata, memandangkan peguam bela tertuduh membangkitkan bermasalah mental Muzyadaha,beliau bersetuju tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta di Tanjung Rambutan, Perak untuk menguji tahap kesihatan mentalnya.

Amalina kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah turut membenarkan Muzyadaha dirujuk ke Hospital Bahagia untuk menjalani ujian kesihatan mental dan menetap 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

BBerkaitan

Latest articles