JOHOR BAHRU: DAP memberi jaminan bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak akan menjejaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan parti itu kekal komited mempertahankan dan memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, masyarakat tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakwaan kononnya kerajaan Madani cuba mengabaikan bahasa kebangsaan hanya kerana membuka ruang kepada lepasan UEC untuk mengikuti program tertentu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
“Kita mahu anak Malaysia bukan sahaja kuasai Bahasa Melayu, tetapi juga bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan jika boleh bahasa Arab. Ini falsafah kerajaan Madani, ini perjuangan kita,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) 2026 di Johor Bahru, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau turut mengingatkan bahawa cadangan pengiktirafan UEC pernah dipersetujui pemimpin pembangkang termasuk Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.
“Tetapi hanya kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berani melakukan perkara itu. Faktanya lebih 80 peratus daripada 10,944 pelajar UEC mengambil SPM, UEC tidak akan ganti SPM, jangan salah faham.
“Saya tabik Perdana Menteri, tiada mana-mana pemimpin yang berani, dalam 10 Perdana Menteri hanya beliau seorang yang berani selesaikan perkara ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan majoriti pelajar UEC masih menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekali gus menolak tanggapan bahawa UEC akan menggantikan sistem pendidikan kebangsaan sedia ada.










