Lelaki Disyaki Tikam Wanita Dalam Kereta Direman Seminggu

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dipercayai menikam seorang wanita hingga cedera parah di bahagian leher dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah, Kepala Batas malam tadi, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan polis.

Perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Noor Shifa Mohd Hamzah di Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini dan tempoh tahanan reman berkuat kuasa sehingga 24 Mei.

Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali berkata, suspek berjaya diberkas kira-kira jam 1.50 pagi di kawasan masjid di Taman Uda, Lebuhraya Sultanah Bahiyah.

Menurut beliau, penahanan dibuat kira-kira lima jam selepas kejadian berlaku sekitar jam 9.19 malam.

Dalam insiden itu, mangsa wanita berusia 32 tahun dilaporkan mengalami kecederaan serius selepas ditikam menggunakan senjata tajam ketika berada di dalam sebuah kereta.

Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah akibat kecederaan parah di leher.

Katanya lagi, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, termasuk hubungan antara suspek dan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.

BBerkaitan

Latest articles