65 Keterangan Polis Diambil Susulan Kenyataan Nik Zawawi

KOTA BHARU: Polis Kelantan menegaskan siasatan terhadap kontroversi kenyataan didakwa menghina sahabat Nabi membabitkan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh masih diteruskan meskipun beliau sudah tampil memohon maaf secara terbuka.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, setakat ini sebanyak 65 keterangan sudah direkodkan termasuk daripada Ahli Parlimen Pasir Puteh itu sendiri serta individu yang tampil membuat laporan polis.

Menurut beliau, polis turut menerima 63 laporan berkaitan kes berkenaan dari seluruh negara termasuk di Kelantan.

“Kita membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan siasatan masih berjalan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Beliau turut memaklumkan semua pihak yang dipanggil memberi kerjasama baik kepada polis, termasuk Nik Muhammad Zawawi.

Dalam masa sama, Mohd Yusoff menjelaskan kandungan kenyataan yang mencetuskan kontroversi itu juga perlu dirujuk kepada pakar agama sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.

Ketika ditanya sama ada pemimpin PAS itu akan dipanggil semula untuk membantu siasatan, beliau berkata perkara berkenaan masih dalam penelitian pihak polis.

Sebelum ini, media melaporkan Nik Muhammad Zawawi mengemukakan permohonan maaf dan menarik balik kenyataan yang mengaitkan beberapa sahabat Nabi Muhammad SAW dengan istilah sensitif ketika menyampaikan ceramah politik di Kuala Terengganu pada 10 Mei lalu.

Beliau mengakui kekhilafan berlaku akibat kurang teliti dalam penyampaian dan pengolahan fakta sehingga menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.

Susulan kontroversi itu, beliau hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan lanjut.

BBerkaitan

Latest articles