Kes Bunuh Di Kelantan Melonjak Lebih 100 Peratus, Polis Akui Situasi Membimbangkan

KOTA BHARU: Peningkatan mendadak kes bunuh di Kelantan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini mencetuskan kebimbangan serius apabila jumlah kes yang direkodkan melonjak lebih 100 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebanyak lima kes bunuh direkodkan setakat ini berbanding hanya satu kes pada tahun lalu, sekali gus menggambarkan trend jenayah berat yang semakin membimbangkan.

Menurut beliau, jenayah bunuh bukan sesuatu yang mudah dijangka atau dicegah kerana setiap kes mempunyai motif berbeza dan tidak semuanya berkait dengan penyalahgunaan dadah.

“Tidak semua pembunuhan berpunca daripada dadah. Ada kes tercetus akibat pergaduhan biasa sehingga membawa kepada tindakan luar kawalan walaupun suspek didapati negatif dadah.

“Keadaan ini amat membimbangkan kerana berdasarkan pemerhatian polis, kelemahan pegangan agama dan kegagalan mengawal emosi turut menjadi faktor yang mendorong individu bertindak ganas tanpa pertimbangan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Kontinjen Kelantan bagi Mei 2026 di Kota Bharu, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa dan masyarakat supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku ahli keluarga selain memantau pergaulan anak-anak bagi mengelakkan mereka terjebak dalam kegiatan jenayah.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff turut memaklumkan polis berjaya menyelesaikan kes pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 19 tahun yang ditemui tidak sedarkan diri di tepi jalan di Kampung Chap Bekelam, Bachok pada 14 April lalu.

Mangsa ditemukan kira-kira jam 8.30 pagi sebelum dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah malam keesokan harinya.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dipercayai disebabkan hentakan objek tumpul.

Susulan kejadian itu, satu pasukan khas daripada Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kelantan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok melancarkan beberapa operasi serbuan di Kelantan dan Selangor.

Operasi berkenaan membawa kepada penahanan enam lelaki berusia antara 25 hingga 52 tahun serta seorang wanita berumur 28 tahun bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes termasuk sebuah kereta, tiga motosikal, enam telefon bimbit, pakaian, dua batang kayu, komponen motosikal, gayung, tong cat dan cebisan kain.

Menurut Mohd Yusoff, semua suspek direman bermula 10 hingga 22 Mei bagi membantu siasatan lanjut.

“Semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau, namun keputusan ujian air kencing terhadap semua mereka adalah negatif dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis masih melengkapkan siasatan sebelum tindakan lanjut diambil.

BBerkaitan

Latest articles