Pasport Zahid: Mahkamah Pulangkan Sementara

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar pasportnya dipulangkan bagi membolehkan timbalan perdana menteri itu menjalankan tugas rasmi.

Bagaimanapun, hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan pemulangan pasport menteri luar bandar dan pembangunan itu buat sementara bagi membolehkan dia memohon pasport diplomatik.

Pasport diplomatik diperlukan oleh pemimpin negara untuk melakukan perjalanan ke luar negara dan lawatan rasmi ke negara lain.

Sequerah merupakan hakim perbicaraan dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi membabitkan ahli parlimen Bagan Datuk itu.

Zahid sebelum ini menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai syarat untuk dibebaskan dengan ikat jamin.

Sambil diperhatikan Zahid dari kandang tertuduh, Sequerah berkata Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa semua individu adalah sama di sisi undang-undang.

Hakim itu berkata dalam kes di Mahkamah Persekutuan pada 2009 melibatkan R Sivarasa yang menentang Badan Peguam Malaysia, memutuskan kesaksamaan di sisi undang-undang bermaksud tiada sesiapa yang memiliki kesitimewaan dan mengatasi undang-undang.

Sequerah berkata undang-undang terpakai ke atas semua individu dan ini bermakna tidak ada perbezaan antara seseorang tertuduh dengan yang lain berkaitan dengan kes jenayah yang sedang berjalan.

“Walaupun mahkamah mengambil maklum bahawa sebagai timbalan perdana menteri, tertuduh mempunyai tugas rasmi untuk dilaksanakan, tetapi ini tidak boleh bercanggah dengan tugas mahkamah.

“Boleh ada pelepasan pasportnya untuk menunaikan tugas rasmi di luar negara apabila perlu tetapi ini tidak boleh bertentangan dengan tugas mahkamah untuk mendengar perbicaraan.

“Terdapat juga permintaan oleh pihak pendakwaan supaya tertuduh boleh dikembalikan pasportnya (Zahid) untuk memohon pasport diplomatik, dan kemudian pasport itu perlu dikembalikan semula ke mahkamah.

“Permohonan untuk pelepasan kekal ditolak. Bagaimanapun, permohonan dibenarkan untuk melepaskan pasport tersebut bagi membolehkan permohonan pasport diplomatik,” kata Sequerah.

Berikutan keputusan hari ini, mahkamah akan memulangkan sementara pasport Zahid supaya dia boleh memohon pasport diplomatiknya untuk menghadiri acara di luar negara, dan pasport (bukan diplomatik) itu kemudiannya akan dikembalikan ke mahkamah sementara tertuduh memiliki pasport diplomatik.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob, manakala pihak pembelaan dikendalikan peguam Hisyam Teh Poh Teik.

Pada 26 Jan lalu, Bernama melaporkan Presiden Umno itu memfailkan permohonan supaya pasportnya dikembalikan secara kekal bagi membolehkan dia menjalankan tugas rasmi sebagai timbalan perdana menteri.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai sebahagian daripada syarat ikat jamin selepas dia didakwa atas 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram membabitkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kini di peringkat pembelaan, berikutan mahkamah mengarahkan Ahmad Zahid membela diri.

Menerusi afidavit menyokong permohonan itu, Zahid, 70, berkata, permohonan itu adalah bersifat bona fide (berniat baik) dan hanya bertujuan untuk memohon kebenaran bagi pelepasan pasport agar dia dapat menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

Zahid mendakwa dia mempunyai beberapa kekangan untuk menjalankan tugas seperti menteri lain kerana tidak mempunyai akses kepada pasport tersebut.

Bagi melancarkan pergerakan dan urusan dalam menjalankan tugasan rasmi, Ahmad Zahid berkata dia dikehendaki berada di dalam dan luar negara yang memerlukan pasport berada dalam pegangannya sendiri.

Enam saksi pembelaan, termasuk Ahmad Zahid, telah memberi keterangan sebelum ini, dan perbicaraan di hadapan Sequerah akan disambung semula pada 10 April.

BBerkaitan

Latest articles