Terkini 7.4 juta rakyat mendaftar terima vaksin

KUALA LUMPUR: Jumlah pendaftaran penerima vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera mencapai 7,421,658  semalam, meningkat hampir 10,000 berbanding kelmarin.

Data dikongsi Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di Twitter hari ini, menunjukkan jumlah itu kini meliputi 30.21 peratus daripada 24.3 juta populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas, yang disasarkan menerima vaksin COVID-19 menjelang suku pertama tahun depan.

Jumlah itu dicapai dalam tempoh 35 hari selepas pendaftaran untuk menyertai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menerusi MySejahtera mula dibuka pada 23 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan kadar pendaftaran terendah berbanding populasi, apabila 11.32 peratus atau 332,048 daripada lebih 2.9 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas mendaftar dalam tempoh berkenaan.

Secara keseluruhan, Putrajaya merekodkan kadar pendaftaran tertinggi berbanding populasi, dengan 47,412 atau 83.3 peratus daripada lebih 56,000 penduduknya mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Ia disusuli Kuala Lumpur (619,129); Selangor (2.01 juta); Pulau Pinang (515,886); Negeri Sembilan (306,687); Melaka (236,805); Johor (942,337) dan Labuan (23,840).

Selain itu, Sarawak (519,921); Perak (533,850); Perlis (50,002); Kedah (395,680); Pahang (297,833); Terengganu (200,368); Kelantan (216,568) dan Sabah (332,048).

PICK mensasarkan untuk memberi vaksin kepada kira-kira 80 peratus populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas menjelang suku pertama tahun depan, bagi mencapai imuniti kelompok terhadap COVID-19.

Malaysia berada dalam Fasa 1 PICK yang mensasarkan untuk memberi vaksin sekurang-kurangnya kepada 500,000 petugas barisan hadapan menjelang April, manakala Fasa 2 akan bermula pada 19 April.

Fasa 2 imunisasi dijadualkan sehingga Ogos depan adalah untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 pula dijadualkan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

BBerkaitan

Latest articles