Budi Madani Diesel Jimat RM2 Bil Setahun, Rakyat Nikmati Harga Lebih Rendah

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan memperbaharui program Budi Madani Diesel bukan sahaja berjaya mengurangkan ketirisan subsidi, malah membolehkan rakyat menikmati harga diesel bersubsidi yang lebih rendah berbanding sebelum ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelaksanaan harga diesel mengikut kadar pasaran telah membantu mengekang kegiatan penyeludupan serta penyalahgunaan bahan api oleh pihak yang tidak layak, sekali gus memastikan bekalan diesel dalam negara kekal stabil.

Menurut beliau, pendekatan tersebut berjaya menghalang golongan bukan warganegara dan industri yang tidak memenuhi syarat daripada menikmati subsidi yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat Malaysia.

“Apabila harga di stesen minyak ditetapkan berdasarkan harga pasaran, ruang untuk aktiviti penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi dapat dikurangkan dengan ketara, selain menjamin bekalan diesel terus mencukupi dalam pasaran domestik,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Ir Hasni Mohamad (BN-Simpang Renggam) mengenai rasional penyasaran subsidi bahan api yang kini turut menggunakan MyKad bagi pembelian diesel bersubsidi.

Amir Hamzah menjelaskan, hasil pembaharuan program Budi Madani Diesel itu dijangka membolehkan kerajaan menjimatkan sehingga RM2 bilion setahun daripada perbelanjaan subsidi.

Katanya, sebahagian daripada penjimatan tersebut disalurkan semula kepada rakyat menerusi penurunan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter.

“Ini bermakna rakyat Malaysia memperoleh manfaat secara langsung apabila dapat membeli diesel pada harga yang lebih rendah sebagai satu keistimewaan kepada warganegara,” katanya.

Mengulas mengenai kuota asas sebanyak 200 liter sebulan, beliau berkata data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan lebih 80 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada jumlah tersebut setiap bulan.

Menurutnya, purata penggunaan diesel rakyat adalah sekitar 140 liter sebulan, menjadikan kuota yang ditetapkan mencukupi bagi sebahagian besar pengguna.

Pada masa sama, kerajaan turut menyediakan kemudahan tambahan sehingga 100 liter lagi melalui permohonan khas Budi Madani, khususnya bagi pemilik kenderaan diesel seperti jip dan pikap yang memerlukan penggunaan lebih tinggi.

“Berdasarkan data semasa, kira-kira 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Oleh itu, jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan adalah mencukupi untuk majoriti rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles