SEREMBAN,— Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Dr Haim Hilman Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang didakwa boleh menyebabkan ketakutan atau kegusaran awam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Dr Haim Hilman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, didakwa membuat kenyataan tersebut ketika satu ceramah PAS di Markas PAS Seremban, Jalan Jelebu, antara jam 8 malam hingga 12 tengah malam pada 13 Jun lalu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan atau kegusaran kepada orang awam. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Berdasarkan pertuduhan, kenyataan yang dipersoalkan antaranya mendakwa tempat kemasukan ke universiti awam dijual kepada individu berkemampuan, selain mendakwa pelajar hanya boleh memasuki institusi pengajian tinggi melalui “pintu belakang”.
Beliau juga didakwa membuat kenyataan bahawa pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM, STPM, matrikulasi dan program asasi turut dinafikan tempat dalam program kritikal dan kompetitif kerana tempat berkenaan didakwa dijual. Selain itu, beliau turut didakwa menyatakan kerajaan tidak menyediakan peruntukan serta kapasiti kemasukan yang mencukupi di universiti awam.
Pada prosiding itu, Ketua Pendakwaan Negeri Sembilan, Ku Hayati Ku Haron, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sementara menunggu sebutan semula kes.
Bagaimanapun, peguam bela Mohd Faizi Che Abu memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dan membantah syarat penyerahan pasport atas alasan anak guamnya perlu melakukan perjalanan rasmi sebagai Exco kerajaan negeri.
Beliau turut memaklumkan bahawa Dr Haim Hilman hadir ke mahkamah secara sukarela bagi menghadapi pertuduhan tersebut.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 30 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.










