KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir pihak yang membawa perbincangan dalaman gabungan itu ke ruang awam selepas mesyuarat selesai berlangsung.
Menurut beliau, PN tidak boleh dijadikan platform untuk mana-mana parti menerima hanya keputusan yang memihak kepada mereka, sambil mempertikaikan ketetapan yang telah dipersetujui secara bersama.
Ahmad Samsuri berkata, beliau mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 23 Jun lalu berhubung beberapa isu yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.
Katanya, sebagai sebuah gabungan politik, PN beroperasi berlandaskan Perlembagaan, disiplin organisasi serta keputusan kolektif yang dicapai melalui saluran rasmi.
“Setiap parti komponen mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan dan mempertahankan pendirian masing-masing ketika mesyuarat berlangsung.
“Namun selepas keputusan dibuat, semua pihak perlu menghormati dan mematuhinya demi menjaga kesepaduan organisasi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Kenyataan itu dilihat sebagai respons kepada dakwaan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang sebelum ini membantah kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) ke dalam PN.
Ahmad Faizal mendakwa keputusan menerima PCM dibuat secara tergesa-gesa dan dipaksa oleh Ahmad Samsuri, walaupun beberapa isu berkaitan aspek perundangan dan pentadbiran didakwa masih belum diselesaikan.
Dalam perkembangan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahmad Samsuri memaklumkan bahawa rundingan pembahagian kerusi antara parti komponen telah dimuktamadkan secara muafakat menerusi mekanisme rasmi gabungan itu.
Beliau berkata, watikah pelantikan calon yang akan bertanding atas tiket PN juga telah ditandatangani.
Menurutnya, penggunaan simbol PN bukan sekadar hak, sebaliknya datang bersama tanggungjawab politik yang perlu dipikul oleh parti yang diberikan amanah untuk bertanding.
“Parti yang menggunakan simbol PN perlu bertanggungjawab terhadap pemilihan calon, gerak kerja pilihan raya, pengurusan kempen serta prestasi kerusi yang ditandingi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh kepimpinan, parti komponen dan jentera PN agar menghentikan polemik dalaman serta memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi PRN Johor.
Katanya, keutamaan ketika ini adalah menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dasar yang berpaksikan kepentingan rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor.










