KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan tindakan Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menyalahkan pihak lain berhubung keputusannya keluar daripada parti sebagai sesuatu yang sukar difahami secara rasional.
Ahmad berkata, tindakan Mohd Puad itu dipercayai berpunca daripada rasa kecewa apabila hasrat untuk melihat anak beliau dipilih sebagai calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Batu Pahat, tidak dipenuhi.
Beliau mengesahkan telah dimaklumkan oleh beberapa pihak yang mengetahui cerita sebenar mengenai tuntutan calon yang dikemukakan oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu.
”Dimaklumkan kepada saya bahawa anak beliau, seorang anak muda berumur 29 tahun. Saya difahamkan anak beliau dilantik pada tahun lepas untuk menjadi AJK Pemuda Bahagian Batu Pahat (bukan menang bertanding).
”Saya setuju anak muda diberi peluang, tetapi tidak semestinya anak beliau. Politik ini satu pertandingan marathon yang sepanjang 42.2 kilometer, bukan secepat larian 100 meter,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad menitipkan pesanan khusus kepada anak Mohd Puad agar terus tabah dan setia bersama wadah perjuangan UMNO tanpa mengikut jejak langkah bapanya.
Beliau turut menyarankan agar anak muda itu membina kerjaya politik mengikut proses yang betul, termasuk bertanding merebut jawatan yang lebih tinggi dalam parti pada masa hadapan.
”Saya doakan agar anak saudara tabah dan setia berjuang dalam UMNO. Cuba bertanding jawatan lebih tinggi dalam UMNO. Mana tahu jika menang jawatan lebih tinggi, suatu masa nanti boleh ditimbangkan untuk menjadi calon,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad turut menyentuh rekod lama Mohd Puad yang didakwanya sering mencetuskan kontroversi atau tindakan di luar jangkaan setiap kali menjelangnya musim pilihan raya.
”Saudara Dr. Puad, ramai tahu ini bukan kali pertama saudara berbuat sesuatu yang pelik sebelum pilihan raya. Apa pun, selamat berjuang, namun berjuanglah dengan tertib Bangsa Johor,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendedahan mengenai latar belakang isu berkenaan terpaksa dibuat agar seluruh rakyat, khususnya Bangsa Johor, memahami senario sebenar di sebalik pengumuman keluar parti oleh pemimpin veteran tersebut.










