Isu Kemasukan UA: 15 Laporan Polis Diterima

KUALA LUMPUR: Sebanyak 15 laporan polis diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kenyataan berbau kontroversi yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, sebelum beliau dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini.

​Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dalam satu kenyataan media memaklumkan kesemua laporan itu adalah berkaitan kenyataan mengenai isu kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA) tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).

​Kenyataan berkenaan difahamkan telah dibuat oleh tertuduh dalam satu program di kawasan Seremban, Negeri Sembilan pada 13 Jun lepas.

​Bagaimanapun, Haim Hilman, 53, yang juga Exco Pengajian Tinggi Negeri Kedah, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli.

​Menurut Datuk M. Kumar, pertuduhan terhadap beliau adalah di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

​”Hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan ini ialah penjara boleh sampai dua (2) tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali,” katanya.

​Beliau berkata mahkamah telah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dan kes akan disebut semula pada 30 Julai 2026, manakala tertuduh diwakili oleh peguam Mohd Faizi Che Abu dan Yahaya Othman.

​Sehubungan itu, PDRM menasihatkan masyarakat agar menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh menjejaskan prosiding mahkamah.

​Orang ramai turut diingatkan supaya menggunakan platform media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.

BBerkaitan

Latest articles