KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan memastikan tiada usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim, sekiranya dakwaan mengenai rancangan itu benar.
Zahid berkata, beliau setakat ini tidak menerima sebarang maklumat bahawa usul berkenaan akan dibawa pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
“Saya tidak mendengar perkara itu akan dilakukan. Jika benar adapun, saya akan menentukan supaya ia tidak berlaku,” katanya, lapor Berita Harian.
Kenyataan itu menyusul laporan yang mendakwa UMNO Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan langkah mengemukakan usul berkenaan, dengan Ketua UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dikatakan akan mengambil langkah itu tertakluk kepada keputusan kepimpinan UMNO pusat.
Menurut laporan berkenaan, perubahan dalam kepimpinan kerajaan negeri, termasuk kemungkinan pembentukan barisan baharu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), juga didakwa boleh berlaku sekiranya rancangan itu diteruskan.
Bagaimanapun, Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang sebelum ini menafikan dakwaan beliau akan mengemukakan usul berkenaan.
Memetik FMT, beliau berkata bahawa tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu pernah diadakan.
Sidang DUN Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 26 November ini, selepas ditangguhkan daripada 16 Oktober bagi menyelaraskan persidangan dengan pembentangan Belanjawan Negeri 2027 pada hari berikutnya.










