KUALA LUMPUR: Tindakan menterbalikkan kedua-dua tapak tangan ketika membaca doa pada majlis pernikahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah, bukan perbuatan tanpa sandaran agama, sebaliknya mempunyai asas daripada sunnah Rasulullah SAW.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata amalan itu dilakukan ketika memohon perlindungan daripada bala dan penyakit, sekali gus menjelaskan persoalan yang kembali menjadi perhatian selepas majlis pernikahan pasangan berkenaan, semalam.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, antara sandaran amalan berkenaan ialah hadis riwayat Muslim yang menceritakan tindakan Rasulullah SAW membalikkan kedua-dua tapak tangan ketika memohon hujan.
Menurutnya, hadis daripada Anas bin Malik itu menjadi rujukan ulama dalam membahaskan keadaan tertentu ketika berdoa, khususnya bagi memohon agar kesusahan diangkat dan keadaan buruk diubah dengan rahmat Allah SWT.
Beliau turut memetik penjelasan Imam al-Nawawi dalam kitab Syarh Sahih Muslim yang menyatakan sebahagian ulama berpendapat sunat membalikkan tangan ketika berdoa untuk memohon agar bala seperti kemarau dan keadaan seumpamanya diangkat.
Penjelasan itu sekali gus memberikan konteks agama terhadap amalan yang mencetuskan perhatian ramai apabila Zulkifli dan beberapa individu lain dilihat membalikkan tangan ketika doa dibacakan pada majlis pernikahan pasangan berkenaan.
Zulkifli berkata, orang ramai yang ingin memahami perbahasan itu dengan lebih lanjut boleh merujuk artikel berkaitan menerusi aplikasi al-Inarah di laman web al-inarah.com/artic.
Katanya, aplikasi berkenaan turut menyediakan lebih 11,000 koleksi soal jawab agama serta ruangan khas bagi membolehkan orang ramai mengemukakan pertanyaan secara langsung.
Amalan menterbalikkan tangan ketika berdoa itu bukan perkara baharu dalam penjelasan Zulkifli, namun kembali menjadi perhatian susulan majlis pernikahan Syed Saddiq dan Bella yang berlangsung semalam.










