Pemandu Lori Positif Dadah Direman Empat Hari Susulan Nahas 11 Kenderaan

SHAH ALAM: Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan membabitkan 12 kenderaan di simpang tiga Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari, semalam, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Lelaki berusia 51 tahun itu direman bermula hari ini selepas ujian saringan mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah, berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Reman selama empat hari,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Dalam kenyataan terdahulu, Sarudin berkata kemalangan kira-kira jam 4.20 petang itu berlaku apabila lori dipandu lelaki berkenaan merempuh 11 kereta yang berhenti di lampu isyarat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu terbabit mendakwa lori dipandunya mengalami masalah brek ketika menuruni bukit dari arah Puncak Perdana menuju ke Puncak Alam.

Keadaan itu dipercayai menyebabkan lori berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar kenderaan lain yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Sarudin berkata ujian pernafasan bagi mengesan alkohol dan ujian air kencing kemudian dijalankan terhadap pemandu terbabit, dengan keputusan saringan air kencing menunjukkan dia positif amphetamine dan methamphetamine.

Dalam kejadian itu, empat individu dilaporkan cedera, termasuk seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah dan menerima rawatan di Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Puncak Alam.

BBerkaitan

Latest articles