Siasatan Dakwaan Shuhaily Kasari Dua Polis Diserah Kepada Pihak Berkuasa

KULIM: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak mahu campur tangan dalam siasatan dakwaan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengasari dua anggota polis, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada agensi berkaitan.

Beliau berkata, kertas siasatan berhubung insiden berkenaan yang dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sudah dikembalikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melengkapkan siasatan lanjut.

Menurutnya, dokumen berkenaan merangkumi keterangan saksi serta bukti lain yang dikumpulkan sepanjang siasatan dijalankan.

“Ini prosedur siasatan biasa. Pada tahap ini, saya tidak mempunyai sebarang ulasan dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Wacana Nasional Surah Al-Hujurat: Teras Keharmonian dan Keselamatan Negara, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan AGC memulangkan kertas siasatan kes berkenaan kepada PDRM bagi membolehkan beberapa aspek disiasat dengan lebih terperinci sebelum tindakan selanjutnya diputuskan.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilaporkan berkata beberapa perkara perlu diteliti dan dilengkapkan, termasuk pengesahan ketulenan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta aspek lain yang timbul sepanjang siasatan.

Dalam perkembangan berasingan, Saifuddin enggan mengulas dakwaan menerusi video tular yang mendakwa seorang lelaki Rohingya memasuki Malaysia menggunakan pasport Bangladesh.

Beliau menegaskan pihaknya tidak akan memberikan reaksi terhadap dakwaan yang belum disokong bukti kukuh.

“Saya tidak mahu memberi respons kepada khabar angin atau dakwaan. Jika ada hujah kukuh dan bukti yang jelas, barulah saya boleh memberikan respons.

“Setakat ini, saya tidak mengetahui adanya masalah berkenaan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles