SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak akan memandang ringan dakwaan seorang individu beragama Islam melakukan ritual agama lain yang tular di media sosial, namun kesahihan rakaman itu perlu dipastikan sebelum sebarang tindakan diambil.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Beliau berkata, kedua-dua peruntukan itu berkaitan kesalahan melakukan perbuatan yang menunjukkan pemujaan dengan cara bertentangan hukum syarak serta perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Bagaimanapun, JAIS setakat ini belum mengesahkan dakwaan bahawa perbuatan berkenaan dilakukan individu terbabit ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves, seperti yang didakwa dalam hantaran tular itu.
Malah, Mohd Shahzihan tidak menolak kemungkinan kandungan berkenaan telah dimanipulasi menerusi teknik suntingan superimpose atau dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Sehubungan itu, katanya, JAIS akan meneliti fakta berkaitan kes berkenaan, termasuk lokasi sebenar kejadian, bagi menentukan bidang kuasa jabatan itu sebelum tindakan lanjut diambil mengikut undang-undang.
Beliau menegaskan JAIS memandang serius sebarang perkara yang menyentuh akidah umat Islam di Selangor dan tidak akan mengabaikan maklumat atau aduan yang diterima.
Menurutnya, setiap aduan akan disiasat secara profesional dengan mengutamakan ketegasan, kepantasan, ketepatan dan keadilan berdasarkan fakta serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.










