PUTRAJAYA: Penjimatan hasil pengurusan kewangan berdisiplin dan usaha membendung ketirisan kini membolehkan kerajaan menambah bantuan kepada rakyat menerusi Belanjawan 2027, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan perlu menyelesaikan keutamaan kewangan negara terlebih dahulu, termasuk mengurus hutang dan memperbaiki kemudahan asas sebelum mempunyai ruang fiskal lebih besar untuk membantu rakyat.
“Wang mesti dijimatkan, jangan boros, jangan hilang, jangan tiris… sekarang dah terkumpul, jadi daripada terkumpul itu, boleh pulang kepada rakyat, bukan pulang kepada elaun menteri,” katanya dalam Wawancara Khas Belanjawan MADANI 2027.
Beliau berkata, penambahbaikan tadbir urus membolehkan kerajaan memperluas bantuan kepada golongan memerlukan, termasuk pekebun kecil getah, pesawah dan murid sekolah, selain meningkatkan sokongan bagi menangani tekanan kos sara hidup.
Bagaimanapun, katanya, penjimatan itu perlu dilindungi daripada kembali terhakis akibat pembaziran dan ketirisan.
Anwar mengakui walaupun inflasi Malaysia berada sekitar dua peratus, kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tertentu masih membebankan rakyat. Pada masa sama, harga domestik turut dipengaruhi faktor luaran seperti perubahan harga komoditi, kos logistik dan gangguan rantaian bekalan global.
Justeru, kerajaan akan memperkemas rantaian bekalan, memperluas pasar tani serta meningkatkan pemasaran hasil pertanian bagi membantu mengurangkan tekanan harga.
Beliau turut menegaskan pertumbuhan ekonomi perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan gaji dan pengurangan jurang pendapatan, bukan sekadar diukur melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, pembangunan sektor bernilai tinggi seperti teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) juga perlu seiring dengan peningkatan produktiviti serta pendapatan rakyat.
Antara manfaat utama Belanjawan 2027 yang dibentangkan semalam ialah peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion berbanding RM15 bilion tahun ini.
Semua penerima STR turut layak menerima SARA sehingga RM150 sebulan, manakala rakyat berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR akan menerima SARA MADANI sebanyak RM100 sebanyak dua kali.
Bantuan Awal Persekolahan pula dinaikkan kepada RM200 daripada RM150, melibatkan peruntukan RM1 bilion untuk 5.3 juta murid.
Kerajaan turut mengumumkan bantuan sekali bayar RM1,000 kepada 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah, yang akan disalurkan minggu hadapan.
Anwar berkata kerajaan juga mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter meskipun harga minyak dunia meningkat daripada unjuran awal AS$70 kepada kira-kira AS$110 setong.
Belanjawan 2027 bertemakan Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi memperuntukkan RM459.8 bilion perbelanjaan kerajaan, dengan keseluruhan pelaburan dan peruntukan berkaitan menjadikan nilai pakej belanjawan itu RM510 bilion.
Anwar menegaskan setiap bantuan akan disalurkan mengikut kemampuan kewangan negara, dengan keutamaan diberikan kepada golongan yang paling terkesan oleh tekanan kos sara hidup.










