Zahid Cadang Imbuhan Untuk Penyelidik Dan Pelajar Yang Hasilkan Inovasi

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan supaya pensyarah dan penyelidik yang menghasilkan inovasi berpotensi dikomersialkan diberikan imbuhan sewajarnya, dengan penghargaan turut diberikan kepada mahasiswa yang membantu membangunkan ciptaan berkenaan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti perlu memastikan sumbangan mahasiswa diiktiraf apabila hasil penyelidikan bersama pensyarah berjaya dibangunkan menjadi prototaip dan berpotensi dibawa ke pasaran.

“Jangan pensyarah saja dapat, pelajar-pelajar wajib dapat,” katanya ketika berucap pada Festival of Ideas (FOI) Putrajaya, di sini hari ini.

Cadangan imbuhan itu sebahagian daripada tiga harapan yang digariskan Ahmad Zahid supaya idea dan hasil penyelidikan yang diketengahkan di festival itu mendapat tindakan susulan.

Pertama, sediakan laluan daripada idea ke industri. Beliau mahu setiap idea berpotensi mempunyai laluan yang jelas, daripada pembangunan prototaip dan pematenan hingga penggunaan dalam industri atau penerapan dalam dasar awam. Katanya, KPT dan universiti perlu menyediakan bimbingan serta pembiayaan dan mencari rakan pelaksana di setiap peringkat supaya penyelidik mendapat sokongan selepas menghasilkan penemuan.

Kedua, jadikan cabaran negara sebagai misi bersama. Ahmad Zahid mahu universiti, industri dan kerajaan menggembleng kepakaran untuk menangani isu seperti keterjaminan makanan dan banjir, serta memperkukuh penguasaan teknologi kritikal.

Ketiga, beri peluang kepada inovasi tempatan untuk diuji dan digunakan. Beliau mahu KPT dan agensi membuka ruang pengujian bersama industri dan pembiaya supaya pencipta tempatan dapat membuktikan kemampuan teknologi mereka sebelum ia digunakan secara lebih meluas.

Ahmad Zahid turut mahu setiap gagasan yang dibawa ke peringkat pelaksanaan mempunyai pihak yang bertanggungjawab, tindakan susulan dan hasil yang dapat dimanfaatkan rakyat.

Beliau berkata, usaha itu sebahagian daripada aspirasi menjadikan Malaysia negara pencipta teknologi, dengan anak tempatan menghasilkan reka bentuk sendiri, memiliki harta intelek dan membina perusahaan yang mampu bersaing di peringkat dunia.

BBerkaitan

Latest articles