PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) hanya mengemukakan seorang calon untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ismail Lasim.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, nama calon berkenaan sudah dikemukakan kepada pihak Istana menerusi warkah selepas beliau menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.
“Setakat ini, saya mengemukakan hanya satu nama sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Festival of Ideas (FOI) di sini.
Beliau berkata, tindakan mengutus warkah bagi mencadangkan calon Menteri Besar baharu adalah amalan lazim BN, namun keputusan akhir berhubung pelantikan itu diserahkan sepenuhnya kepada pihak Istana.
Mengulas dakwaan tindakannya seolah-olah mendahului keputusan Istana berhubung peletakan jawatan berkenaan, Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak berniat berbuat demikian, sebaliknya hanya mengikuti adat dan tatacara yang ditetapkan.
Dalam perkembangan sama, beliau menafikan UMNO mengarahkan Ismail meletakkan jawatan, sebaliknya menyifatkan keputusan itu dibuat atas kehendak individu berkenaan tanpa menyatakan sebabnya.
Ahmad Zahid berharap kemelut berkenaan dapat diselesaikan dengan baik, dengan keutamaan ketika ini diberikan kepada proses mendapatkan perkenan bagi pelantikan Menteri Besar baharu sebelum perkara lain dibincangkan.










