KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mencabar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaan bahawa pemimpin bukan Islam lebih zalim berbanding pemimpin Islam ketika mentadbir negara.
Beliau berkata, kenyataan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Marang itu tidak wajar dibiarkan tanpa penjelasan kerana boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap pemimpin bukan Islam.
Menurutnya, beliau sendiri mempunyai pengalaman menghulurkan bantuan kepada rakyat tanpa mengira agama dan kaum, termasuk kepada masyarakat Islam di kawasan Parlimen Jelutong.
“Saya ingin bertanya kepada Tok Guru Hadi Awang yang saya hormati, sila tunjukkan di mana pemimpin-pemimpin yang bukan beragama Islam lebih zalim daripada pemimpin-pemimpin beragama Islam?
“Di kawasan Parlimen saya, tuan-tuan boleh bertanya kepada pihak ICU dan penduduk di sana, pernahkah mana-mana pemimpin DAP yang bukan beragama Islam enggan memberikan bantuan kepada rakyat beragama Islam apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen pada Isnin.
Rayer turut memberikan contoh bantuan yang disalurkan kepada 21 penjaja di kawasan Datuk Keramat, Pulau Pinang yang terjejas akibat banjir kilat kira-kira dua minggu lalu.
Menurutnya, kesemua penjaja terbabit terpaksa menghentikan operasi perniagaan selama tiga hari dan masing-masing melaporkan kerugian kira-kira RM2,500.
“Sebagai Ahli Parlimen, ini bukan kali pertama saya menghulurkan bantuan. Saya telah memberikan RM1,000 kepada setiap seorang daripada 21 penjaja dan peniaga yang terjejas di situ.
“Selain itu, apabila ada orang memerlukan kerusi roda, bantuan mesin basuh atau katil, kita turut membantu. Tidak kira agama, tidak kira bangsa, kita menghulurkan bantuan,” katanya.
Dalam pada itu, Rayer turut mempersoalkan tindakan pemimpin MIC, MCA, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang didakwa masih belum memberikan sebarang reaksi terhadap kenyataan Hadi berkenaan.
Beliau menyifatkan sikap berdiam diri pemimpin parti-parti berkenaan sebagai sesuatu yang mengejutkan, memandangkan mereka kini berada dalam gabungan politik yang sama dengan Pas.
“Saya ingin mendengar apa respons daripada pemimpin MIC, MCA, Gerakan dan MIPP berkenaan komen yang dikeluarkan oleh Tok Guru Hadi Awang.
“The deafening silence of the MIC, Gerakan, MCA dan MIPP leaders adalah sesuatu yang menakjubkan kerana tidak ada seorang pun pemimpin parti ini tampil untuk menidakkan, menafikan atau menegur Tok Guru Hadi Awang,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada sikap berdiam diri itu disebabkan kebimbangan kehilangan sokongan penyokong Perikatan Nasional (PN) di kawasan masing-masing.
Rayer berkata, kenyataan Hadi itu juga perlu dijelaskan berikutan kemungkinan dakwaan bahawa kenyataan berkenaan telah disalah petik atau diterjemahkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan klip video yang tular, beliau mendakwa mendengar dengan jelas ungkapan yang membandingkan tahap kezaliman pemimpin Islam dan bukan Islam.
Mengulas lanjut, Rayer turut menyentuh pembangunan tiga masjid bernilai RM14 juta di Pulau Pinang sebagai antara contoh usaha kerajaan negeri memartabatkan syiar Islam.
Beliau berkata, perkara itu menunjukkan bahawa pembangunan dan kebajikan masyarakat Islam turut diberikan perhatian tanpa mengira latar belakang agama pemimpin yang mentadbir negeri.
Justeru, beliau sekali lagi meminta Hadi menjelaskan asas kenyataan tersebut selain menggesa pemimpin MIC, MCA, Gerakan dan MIPP menyatakan pendirian masing-masing berhubung isu berkenaan.










