KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), menuntut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mendedahkan formula pengiraan dan minit kelulusan pembaharuan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) yang diluluskan pada kadar premium RM1,000.
Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, keputusan meluluskan pembaharuan pajakan selama 99 tahun bagi tapak strategik di Jalan Maharajalela itu menimbulkan persoalan berhubung ketelusan pengurusan aset kerajaan, khususnya apabila nilai premium asal tanah berkenaan dianggarkan RM4.67 juta.
Menurutnya, pengurangan sebanyak 99.98 peratus daripada nilai asal itu memerlukan penjelasan terperinci kerana ia membabitkan hasil negara.
“Rakyat berhak tahu mengapa hasil negara RM4.67 juta hilang begitu saja.
“Keputusan Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan meluluskan pembaharuan pajakan selama 99 tahun bagi tapak strategik KLSCAH dengan kadar premium nominal hanya RM1,000 adalah satu tindakan yang mengejutkan dan sukar diterima,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Manndzri berkata, alasan penukaran status tanah kepada institusi serta pewartaan bangunan berkenaan sebagai bangunan warisan tidak menjawab persoalan utama berhubung asas penetapan premium tersebut.
Beliau berkata, KLSCAH sudah diwartakan sebagai bangunan warisan kebangsaan sejak 2007, namun penilaian asal tanah berkenaan masih mencecah RM4.67 juta.
“Kami mengiktiraf sumbangan masyarakat Cina dalam memelihara KLSCAH sebagai warisan kebangsaan. Usaha menjaga bangunan bersejarah tersebut dan meneruskan peranannya dalam kegiatan kebudayaan dan kemasyarakatan merupakan sumbangan kepada khazanah warisan negara yang wajar dihargai.
“Namun, alasan teknikal sedemikian tidak boleh dijadikan perisai untuk menutup persoalan tata kelola yang lebih besar,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kos peluang yang terpaksa ditanggung rakyat susulan pengurangan premium berkenaan, dengan menyifatkan hampir RM4.6 juta sebagai jumlah yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan awam.
Katanya, dana itu berpotensi disalurkan bagi membaiki lif dan kemudahan di Projek Perumahan Rakyat (PPR), membantu golongan B40 serta membiayai projek tebatan banjir di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Manndzri mengemukakan lima tuntutan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi menjelaskan keputusan berkenaan.
Antaranya, mendedahkan formula pengiraan rasmi dan minit kelulusan yang membolehkan nilai premium RM4.67 juta dikurangkan kepada RM1,000 selepas perubahan kategori kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi.
Beliau juga mahu kerajaan memberikan jaminan bahawa tiada aktiviti komersial yang membolehkan pihak pengurusan bangunan mengaut keuntungan melalui penyewaan dewan atau ruang kepada pihak luar.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu menjelaskan sama ada insentif premium yang sama turut diberikan kepada pertubuhan kebajikan, rumah ibadat dan badan warisan kaum lain di Wilayah Persekutuan bagi mengelakkan persepsi layanan berbeza.
Manndzri turut mempersoalkan keputusan memberikan tempoh pajakan maksimum 99 tahun sedangkan pajakan asal tanah berkenaan masih berbaki lapan tahun.
Tuntutan kelima pula membabitkan penjelasan maksud tanah berkenaan tidak lagi mempunyai nilai pembangunan komersial selepas ditukar kepada kegunaan institusi, termasuk asas penilaian rasmi yang digunakan bagi menetapkan premium RM1,000.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan potensi pembangunan KLSCAH sebagai hab pelancongan, warisan dan kebudayaan nasional melalui kerjasama strategik yang boleh menjana ekonomi serta memberikan pulangan kepada rakyat.
“Kami tidak akan berkompromi dalam soal integriti pengurusan aset dan hasil negara.
“Kerajaan tidak boleh sekadar melaungkan slogan tata kelola yang baik tetapi gagal mempraktikkannya apabila berdepan keputusan yang mencetuskan persepsi pilih kasih,” katanya.
Beliau menggesa Hannah memberikan penjelasan menyeluruh berhubung semua persoalan itu dan bersedia membentangkannya di Dewan Rakyat serta Dewan Negara.










