Jalaluddin Seru Semua Pihak Bertenang, Hormati Proses Pelantikan MB

SEREMBAN: UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyeru semua pihak supaya bertenang serta menghormati proses yang sedang berlangsung susulan peletakan jawatan Datuk Seri Ismail Lasim sebagai Menteri Besar pada Isnin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, semua pihak perlu memberikan keyakinan terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dalam menentukan perkembangan seterusnya.

Menurutnya, seluruh kepimpinan UMNO, BN dan PN negeri turut berpendirian untuk menjunjung titah baginda serta memastikan proses berkenaan berjalan dengan lancar.

“Dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan.

“Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, stabil dan sejahtera demi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, bangsa dan latar belakang,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Ismail, Jalaluddin berkata, beliau telah dimaklumkan oleh kepimpinan parti berhubung hasrat tersebut.

“Ini saya telah pun dimaklumkan oleh pemimpin parti tentang hasrat yang mahu meletakkan jawatan,” katanya ketika ditanya sama ada Ismail memaklumkan perkara itu secara peribadi kepada UMNO Negeri Sembilan.

Ditanya mengenai calon Menteri Besar baharu, beliau menjelaskan perkara itu akan ditentukan melalui keputusan kepimpinan tertinggi parti sebelum nama dicadangkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

“Ini adalah keputusan pimpinan tertinggi parti untuk mencadangkan calon Menteri Besar baharu untuk diperkenankan oleh Kebawah Duli Tuanku.

“Belum, saya belum dapat apa-apa keputusan ataupun arahan daripada pimpinan parti. Kita menyelesaikan di peringkat pimpinan dahulu,” katanya.

Jalaluddin turut menjelaskan belum ada kepastian mengenai jumlah nama calon yang akan dikemukakan, sebaliknya semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan PN akan mematuhi keputusan kepimpinan tertinggi parti.

“Cadangan, ya, Presidenlah. Belum dapat dipastikan lagi berapa calon nama yang akan dihantar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai dakwaan bahawa peletakan jawatan Ismail dibuat secara terpaksa atau tidak sukarela.

“Saya fikir itu tidak lagi perlu saya ataupun kita ulas. *Move on*, kita pastikan supaya kestabilan kerajaan dapat diurus dengan baik dan proses ini dapat berjalan dengan lancar,” katanya.

Jalaluddin turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan PN yang menyatakan persetujuan untuk terus bersama BN dalam mematuhi sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti.

Mengulas mengenai ketidakhadiran Ismail dalam pertemuan berkenaan, beliau berkata, bekas Menteri Besar itu telah dijemput namun dipercayai mempunyai urusan lain.

Katanya, beberapa ADUN lain turut tidak dapat hadir atas urusan masing-masing termasuk menunaikan umrah, menghadiri mesyuarat perwakilan di Johor dan menjalankan urusan rasmi di luar negara.

Mengulas harapan supaya peletakan jawatan Menteri Besar itu dapat menamatkan kemelut politik negeri, Jalaluddin berkata, perkara berkenaan sememangnya menjadi pendirian beliau dan seluruh kepimpinan parti.

“Ya, itu memang menjadi satu pendirian kepada saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dan didukung oleh semua Ahli Yang Berhormat serta kepimpinan UMNO, BN dan PN supaya semua ini mesti dapat kita atasi dengan baik, berhemah dan harmoni.

“Yang penting sekali ialah faktor berkaitan urus tadbir kerajaan, terutamanya kesejahteraan rakyat, dapat kita selesaikan dan berjalan dengan baik untuk kepentingan negeri serta rakyat,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles