KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan meminta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat proses tender Bekalan Makanan Bermasak di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan empat persoalan yang dibangkitkan berhubung pemberian kontrak berkenaan.
Beliau berkata, permintaan itu dikemukakan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin pada Selasa.
Menurutnya, surat berkenaan merupakan susulan kepada sidang media yang diadakan sebelum ini bagi membangkitkan isu berkaitan proses tender tersebut.
Wan Saiful berkata, persoalan pertama melibatkan pemberian banyak kontrak bernilai jutaan ringgit kepada entiti berstatus perusahaan (enterprise) yang menimbulkan keraguan mengenai kemampuan kewangan mereka.
Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan pembayaran kerajaan lazimnya mengambil masa dan kelewatan boleh memberi kesan kepada kemampuan kontraktor menampung kos operasi serta modal pusingan.
“Umum mengetahui bahawa menjadi satu kebiasaan untuk bayaran daripada kerajaan dilakukan lewat. Sekiranya kelewatan bayaran berlaku, mampukah kontraktor-kontraktor ini menampung kos operasi dan modal pusingan?” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Persoalan kedua pula membabitkan latar belakang beberapa syarikat yang memenangi tender tetapi nama perniagaan mereka menunjukkan penglibatan dalam sektor lain seperti kawalan makhluk perosak, perniagaan kereta dan keselamatan.
Beliau mempersoalkan sama ada syarikat terbabit mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam penyediaan makanan bermasak, selain memiliki dapur berlesen, sijil halal dan pekerja pengendali makanan terlatih.
Selain itu, Wan Saiful turut membangkitkan persoalan ketiga berhubung alamat perniagaan beberapa pemenang tender yang didakwa kelihatan seperti rumah kediaman, kawasan kampung atau pangsapuri.
Katanya, beberapa contoh lokasi berkenaan turut disertakan dalam surat kepada PAC menerusi lampiran peta.
Persoalan keempat pula berkaitan tender Bekalan Makanan Bermasak bagi Asrama Kolej Vokasional (KV) Kerian, Kategori B, bernilai RM10,327,338 yang diumumkan pemenangnya pada 15 Oktober 2026.
Bagaimanapun, beliau mendakwa keputusan tender berkenaan tidak lagi terdapat dalam senarai terkini yang boleh diakses menerusi portal ePerolehan.
Sehubungan itu, Wan Saiful berharap PAC memberikan perhatian terhadap permintaannya dan menyiasat perkara yang dibangkitkan bagi mendapatkan penjelasan mengenai proses pemberian kontrak bekalan makanan bermasak di KPM.










