PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengecam keras tindakan membakar dan merosakkan sebuah masjid di Golbazar, daerah Siraha, Nepal yang berlaku ketika ketegangan antara komuniti di negara itu.
Yang Dipertuanya, Datuk Dr Hasan Bahrom, berkata insiden berkenaan lebih menyedihkan apabila naskhah al-Quran dan bahan hadis yang terdapat di dalam masjid turut musnah dalam kebakaran.
Menurut beliau, perbuatan mencemarkan atau memusnahkan rumah ibadat tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat yang menjunjung nilai kemanusiaan, keamanan dan keharmonian.
“YADIM menegaskan bahawa kebebasan beragama tidak boleh dijadikan alasan untuk menghina, mencemarkan atau merosakkan agama serta rumah ibadat mana-mana pihak.
“Sebarang perbezaan dan ketegangan antara komuniti perlu ditangani menerusi dialog serta saluran undang-undang, bukannya melalui provokasi, keganasan atau tindakan membalas dendam atas nama agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasan berkata, ajaran Islam turut menekankan kepentingan menghormati rumah ibadat dan berlaku adil terhadap masyarakat yang mempunyai pegangan agama berbeza.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa Nepal menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab sebelum tindakan sewajarnya diambil.
Dalam perkembangan sama, YADIM turut menyeru masyarakat agar tidak mengambil kesempatan daripada bencana banjir yang melanda Nepal untuk mencela atau meraikan penderitaan mangsa.
Sebaliknya, Hasan berkata, situasi berkenaan wajar menggerakkan nilai rahmah, ihsan dan kemanusiaan dengan masyarakat diseru menghulurkan doa serta bantuan kepada mangsa tanpa mengira agama dan latar belakang.
“Pendirian ini selari dengan semangat Malaysia MADANI dan MADANI Membantu di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan yang mengangkat nilai ihsan, kemanusiaan dan rahmah dalam kehidupan bermasyarakat serta hubungan antarabangsa.
“YADIM mendoakan agar keamanan kembali pulih di Nepal dan semua mangsa serta masyarakat yang terkesan diberikan perlindungan, kekuatan dan pertolongan,” katanya.










