DAP Jadikan Minit Lembaga Pengampunan Modal Politik Murahan – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR: DAP didakwa menjadikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai modal politik murahan dan bahan dagangan di media sosial.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Fadzmel Fadzil berkata, penyebaran dokumen berkenaan bukan sekadar isu teknikal perundangan, sebaliknya membabitkan keselamatan negara serta maruah institusi diraja.

“Apabila dokumen bertaraf RAHSIA seperti Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan boleh berlegar di laman media sosial seorang bekas Ahli Parlimen DAP, kita bukan lagi bercakap soal teknikal undang-undang semata-mata.

“Ini adalah soal keselamatan negara dan maruah institusi diraja,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana dokumen berkaitan mesyuarat berkenaan boleh tersebar serta membangkitkan kebimbangan kemungkinan perkara sama berlaku terhadap dokumen keselamatan atau pertahanan negara.

“Persoalannya, jika kerahsiaan mesyuarat tertinggi negara pun boleh dibocorkan sesuka hati demi memuaskan nafsu politik kepartian, apakah jaminan bahawa DAP tidak akan menggadaikan rahsia keselamatan atau pertahanan negara pada masa hadapan apabila kepentingan politik mereka menjadi taruhan?” katanya.

Dalam pada itu, Fadzmel mendakwa kenyataan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, berhubung isu berkenaan turut mengandungi naratif yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, penggunaan frasa provokatif dalam kenyataan tersebut seolah-olah mempertikaikan keputusan Seri Paduka Baginda dan berpotensi membangkitkan sentimen berkaitan institusi diraja.

“Lebih menjijikkan, cuba perhatikan sikap sebenar DAP terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu. Dengan sengaja mengolah naratif kononnya Yang di-Pertuan Agong bertindak membelakangkan Kerajaan, walhal terbukti Yang di-Pertuan Agong telah menjalankan tugas baginda sesuai dengan kehendak Perlembagaan,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan kepimpinan tertinggi DAP yang didakwa tidak memberikan reaksi terhadap isu berkenaan.

“Di mana suara kepimpinan tertinggi DAP? Membisu seribu bahasa seperti biasa apabila melibatkan penghinaan terhadap institusi Melayu dan Raja,” katanya.

Sehubungan itu, Fadzmel menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap penyebaran dokumen terbabit.

“Siasatan menyeluruh di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan wajib dijalankan segera bagi mengheret bukan sahaja Tony Pua, tetapi juga tangan-tangan ghaib dalam Kerajaan yang membocorkan dokumen ini ke muka pengadilan,” katanya.

Tambahnya, isu berkenaan turut memperlihatkan sikap tidak konsisten DAP dalam menghormati institusi Raja Berperlembagaan, khususnya apabila keputusan Yang di-Pertuan Agong tidak selari dengan kepentingan politik parti itu.

“Apa yang berlaku hari ini membuktikan, DAP hanya menjunjung tinggi keputusan Yang di-Pertuan Agong apabila ia menguntungkan mereka seperti ketika pengampunan penuh Anwar Ibrahim pada tahun 2018.

“Namun, apabila keputusan Baginda tidak selari dengan selera politik mereka, mereka sanggup mengeluarkan minit mesyuarat sulit semata-mata mahu memberi isyarat kepada penyokong tegar bahawa ‘kami tidak bersetuju, Raja yang berkeras’,” katanya.

Fadzmel yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Setiawangsa menegaskan kedaulatan Raja Berperlembagaan dan kerahsiaan dokumen negara tidak sepatutnya dijadikan bahan politik untuk meraih perhatian di media sosial.

BBerkaitan

Latest articles