KUALA LUMPUR: Kebebasan kehakiman, ketelusan dan keadilan bukan sekadar prinsip perundangan, sebaliknya menjadi benteng utama dalam mempertahankan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, keyakinan masyarakat merupakan aset paling berharga badan kehakiman yang perlu dipelihara kerana kekuatan sesebuah mahkamah tidak diukur berdasarkan kuasa atau kemegahan bangunannya.
Sebaliknya, beliau berkata, kewibawaan institusi itu bergantung kepada keyakinan rakyat bahawa setiap keputusan dibuat secara adil, bebas daripada tekanan serta tidak dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak.
Berucap menerusi syarahan bertajuk Public Trust: The Judiciary’s Most Precious Constitutional Asset di Universiti Sunway, beliau menegaskan hakim perlu menjalankan tanggungjawab tanpa campur tangan politik dengan menjadikan Perlembagaan dan undang-undang sebagai panduan utama.
Menurutnya, kebebasan kehakiman amat penting bagi menghalang penyalahgunaan kuasa negara secara sewenang-wenangnya, selain memastikan hak rakyat terus dilindungi.
Mengimbas krisis kehakiman 1988 serta beberapa keputusan penting selepas itu, termasuk kes Semenyih Jaya, Wan Ahmad Farid berkata sejarah negara menunjukkan kepercayaan masyarakat boleh terhakis apabila kebebasan badan kehakiman mula dipersoalkan.
Beliau turut menegaskan bahawa keadilan bukan hanya bergantung kepada keputusan yang betul, tetapi turut melibatkan proses penyampaian yang adil, tidak tertangguh tanpa alasan munasabah dan mudah difahami oleh pihak berkepentingan.
Berkongsi pengalaman ketika bertugas sebagai hakim Mahkamah Tinggi di Kota Bharu, Kelantan, beliau menceritakan bagaimana seorang tertuduh pernah kelihatan kebingungan ketika beliau membacakan penghakiman dalam bahasa Inggeris.
Tertuduh itu kemudian meminta penjelasan daripada peguamnya mengenai maksud keputusan berkenaan.
Pengalaman itu, katanya, menjadi titik perubahan sehingga beliau bertekad menyampaikan penghakiman menggunakan bahasa yang lebih jelas dan mudah difahami.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Farid memberi amaran bahawa keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman boleh merosot sedikit demi sedikit akibat kelewatan penghakiman, keputusan tanpa penjelasan mencukupi, konflik kepentingan serta salah laku.
Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan platform dalam talian sebagai ruang menyerang hakim atau memperlekeh keputusan mahkamah secara peribadi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan badan kehakiman tidak menolak kritikan, sebaliknya membezakan antara teguran berasaskan hujah perundangan dengan serangan peribadi yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi itu.
“Kami terbuka kepada kritikan, tetapi biarlah ia bersifat intelektual. Kritikan terhadap penaakulan undang-undang dan serangan terhadap badan kehakiman adalah dua perkara yang jauh berbeza,” katanya.
Beliau turut menggesa hakim supaya sentiasa bersedia menerima penelitian masyarakat, selain mengamalkan sikap rendah hati, tekun dan sabar serta menghormati setiap individu yang mendapatkan keadilan di mahkamah.
Mengakhiri syarahan dengan merujuk kisah Humpty Dumpty, Wan Ahmad Farid mengingatkan bahawa kepercayaan yang telah musnah bukan sesuatu yang mudah dibina semula, meskipun melalui penggubalan undang-undang atau campur tangan kerajaan.
Justeru, katanya, kebebasan badan kehakiman perlu dipertahankan dengan bersungguh-sungguh sebelum kerosakan terhadap institusi itu menjadi lebih parah.
“Kebebasan badan kehakiman mesti dipertahankan dengan tegas, sebelum kejatuhan benar-benar berlaku,” katanya.










