Tony Pua Didakwa Peralat Prosiding Pengampunan Diraja – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR: UMNO mempersoalkan sama ada penyahklasifikasian dan pendedahan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu perlu diperjelaskan kerana dokumen berkenaan berkait secara langsung dengan prosiding Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda.

Beliau berkata, UMNO memandang serius dan amat kesal dengan tindakan penyebaran minit mesyuarat berkenaan, khususnya tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, yang memuat naik dokumen itu menerusi akaun Facebooknya.

Menurutnya, kuasa pengampunan, pengurangan dan melegakan hukuman merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, segala urusan dan dokumen yang berkaitan dengan prosiding Lembaga Pengampunan sewajarnya diuruskan dengan penuh cermat, kerahsiaan dan penghormatan terhadap kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Asyraf Wajdi berpandangan, penularan minit mesyuarat itu merupakan satu bentuk penghinaan dan hasutan yang disengajakan bagi membuka ruang perdebatan serta polemik untuk mempersoalkan, menghina dan meremehkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, Tony Pua dilihat berterusan memperalatkan prosiding pengampunan diraja sebagai bahan perbalahan politik tanpa menghormati kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan.

Sehubungan itu, UMNO mendesak kerajaan memberikan penjelasan segera mengenai proses, asas perundangan dan pihak yang meluluskan penyahklasifikasian minit mesyuarat berkenaan.

“Persoalan utama yang perlu dijawab ialah adakah penyahklasifikasian dan pendedahan minit mesyuarat tersebut telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong?” katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan tegas perlu segera diambil bagi mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan serta menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tindakan Tony Pua berkongsi beberapa halaman minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang telah dinyahklasifikasikan menerusi Facebook pada Rabu.

BBerkaitan

Latest articles