SEREMBAN: Tindakan UMNO yang didakwa mendesak peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, secara tergesa-gesa ketika usaha perdamaian dengan pihak istana masih berlangsung disifatkan sebagai mencemarkan tertib pentadbiran dan hubungan institusi negeri.
Dakwaan itu dibangkitkan Sekretariat Taat Setia Sokongan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menerusi kenyataan media yang mempersoalkan beberapa tindakan UMNO sepanjang kemelut peletakan jawatan berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zahardudin, berkata tindakan mengumumkan peletakan jawatan Ismail kepada media oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebelum sebarang kenyataan rasmi daripada Menteri Besar itu sendiri turut menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dan kerelaan keputusan berkenaan.
“Pengumuman berhubung perkara ini telah didahului oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) kepada pihak media tanpa kehadiran atau kenyataan rasmi daripada Datuk Ismail Lasim sendiri, sekali gus mencetuskan kekeliruan mengenai keabsahan dan kerelaan sebenar di sebalik keputusan tersebut.
“Pendedahan kronologi daripada
pihak Istana jelas menunjukkan wujudnya tindakan luar biasa apabila surat peletakan jawatan tersebut hanya dihantar ke Istana selepas jam 12.00 tengah malam melalui wakil firma guaman.
“Keadaan ini memberi gambaran seolah-olah wujud cubaan untuk meletakkan pihak Istana dalam keadaan terdesak tanpa melalui saluran protokol yang sewajarnya,” katanya.
Megat D. Shahriman turut membidas tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang mengadakan sidang media bagi merakamkan penghargaan kepada Ismail sebagai mantan Menteri Besar sebelum mendapat perkenan rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Katanya, tindakan mendahului keputusan Istana itu dilihat tidak menghormati kuasa budi bicara institusi diraja, selain boleh mencetuskan kekeliruan berhubung kedudukan sebenar Menteri Besar ketika itu.
“Keseluruhan episod ini mencerminkan sikap kepimpinan UMNO Negeri Sembilan yang seolah-olah enggan mencari titik perdamaian, sebaliknya terus mencetuskan ketegangan dengan pihak Istana,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Megat D. Shahriman menegaskan sekretariat berkenaan akan terus memantau perkembangan kemelut politik negeri itu serta mempertahankan kedaulatan dan kemuliaan institusi diraja daripada sebarang percaturan politik yang tidak bertanggungjawab.
Beliau turut menyeru supaya tertib dan kedudukan institusi diraja terus dihormati dalam menangani kemelut pentadbiran Negeri Sembilan.










