Maamandram Kecewa Macron Diiringi Anwar Masuk Kuil Hindu Pakai Kasut

KUALA LUMPUR: Malaysia Hindhudharma Maamandram melahirkan rasa kecewa berhubung insiden Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memasuki kawasan Kuil Sri Maha Mariamman di Kuala Lumpur dengan memakai kasut ketika lawatan rasmi.

Presidennya, Rishikumar Vadivelu berkata, tindakan tersebut menunjukkan kurangnya kepekaan terhadap amalan keagamaan masyarakat Hindu yang menetapkan setiap individu perlu menanggalkan kasut sebelum memasuki kuil.

Menurutnya, amalan menanggalkan kasut bukan sekadar formaliti budaya, sebaliknya merupakan tradisi keagamaan yang telah lama diamalkan dan berteraskan prinsip kesucian, penghormatan serta menjaga kesucian rumah ibadat.

“Kuil bukan bangunan awam biasa. Ia merupakan tempat suci bagi penganut Hindu untuk menunaikan sembahyang, melaksanakan upacara keagamaan dan mengekalkan disiplin kerohanian.

“Menanggalkan kasut merupakan antara amalan asas yang dipatuhi penganut Hindu tanpa mengira kedudukan sosial, jawatan atau status seseorang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa setiap individu perlu mematuhi adat dan protokol keagamaan yang sama apabila memasuki kuil Hindu, tanpa mengira kedudukan atau jawatan yang disandang.

“Sama ada seorang presiden, perdana menteri atau individu paling berpengaruh di dunia, semua perlu menghormati tradisi keagamaan yang ditetapkan apabila memasuki kuil Hindu.

“Tiada kedudukan politik, status diplomatik atau jawatan awam yang boleh meletakkan seseorang mengatasi adat dan amalan keagamaan di sesebuah rumah ibadat,” katanya.

Dalam pada itu, Rishikumar berkata, pihaknya menghargai kepentingan hubungan diplomatik serta peluang menyambut kehadiran pemimpin antarabangsa ke Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kunjungan seumpama itu perlu disertai kesedaran terhadap budaya dan sensitiviti agama masyarakat setempat, termasuk memastikan protokol berkaitan dimaklumkan dengan jelas kepada tetamu sebelum mereka mengunjungi rumah ibadat.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada sensitiviti agama di Malaysia diberikan perhatian secara sama rata kepada semua penganut agama.

“Malaysia merupakan sebuah negara berbilang agama dan budaya. Sikap saling menghormati tidak seharusnya diamalkan secara terpilih.

“Sebagaimana kita mengharapkan pengunjung menghormati adat dan sensitiviti masyarakat agama lain, tradisi keagamaan masyarakat Hindu juga perlu diberikan pertimbangan dan penghormatan yang sama,” katanya.

Rishikumar menjelaskan, pihaknya tidak mempersoalkan kunjungan diplomatik berkenaan atau niat di sebaliknya, sebaliknya membangkitkan isu tindakan yang disifatkan sebagai tidak menghormati satu daripada amalan penting dalam agama Hindu.

Menurutnya, insiden itu sebenarnya boleh dielakkan sekiranya taklimat awal, kesedaran mengenai sensitiviti agama serta pematuhan terhadap protokol kuil diberikan perhatian sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan, penganjur dan pengurusan kuil memastikan semua protokol keagamaan dipatuhi dalam setiap kunjungan pemimpin tempatan mahupun antarabangsa pada masa akan datang.

“Hormat tidak ditentukan oleh kedudukan seseorang. Sensitiviti agama bukan keistimewaan yang hanya diberikan kepada komuniti tertentu.

“Kesaksamaan perlu dibuktikan melalui tindakan, bukan sekadar kata-kata.

“Kami berharap insiden ini menjadi peringatan bahawa menghormati kepercayaan orang lain bermula dengan menghormati tradisi dan kesucian rumah ibadat mereka,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles